Cubaan Rejim DAP Tutup Mulut Ketua Pembangkang


GEORGETOWN - Gangguan berterusan daripada beberapa penyokong kerajaan ketika ketua pembangkang berucap dalam sesi perbahasan Bajet 2014 pagi semalam adalah cubaan untuk menutup mulutnya agar tidak terus lantang bersuara.  

Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) kesal dengan tindakan beberapa Adun PR, terutama Adun Sri Delima, RSN Rayer yang mengganggunya dengan pelbagai alasan agar tidak terus membangkitkan kesilapan atau kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, tindakannya tidak matang itu tidak wajar dibenarkan dalam sidang dewan kerana ia membuang masa wakil rakyat untuk membangkitkan pelbagai isu dalam dewan yang mulia itu.

"Adakah salah saya bertanya untuk mendapat jawapan mengenai beberapa isu yang menjadi perbualan masyarakat masa kini.

"Adakah ini cara dan amalan demokrasi kerajaan PR. Kalau kita tanya macam-macam mereka cuba mengelaknya dengan membuat kacau, bising dan gangguan ketika sesi perbahasan," katanya pada sidang media selepas keluar dari dewan pagi tadi.

Turut hadir Adun Pulau Betong, Muhammad Farid Saad dan Adun Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.

Menurutnya, beliau wajar diberi peluang untuk bercakap secara bebas tanpa apa-apa gangguan sebagai menghormati kedudukannya sebagai ketua pembangkang.

"Kenapa nak ganggu ketika orang bercakap. Hormatilah kemuliaan institusi dewan ini kerana ini adalah tempat menggubal undang-undang dan menyuarakan masalah rakyat.

"Dahulu kita tidak pernah mengganggu atau menghalang Exco Kebajikan, Phee Boon Poh berucap ketika menjadi ketua pembangkang. Dia bercakap begitu lama sehingga beberapa jam tanpa gangguan.

"Kenapa tidak boleh amal perkara yang sama sekarang ini," katanya.

Jahara berkata walaupun masih mempunyai banyak isu yang mahu diketengahkan tetapi beliau enggan meneruskannya kerana sikap tidak matang beberapa Adun PR ketika berada dalam dewan.

"Saya tidak tuduh sesiapa pun. Saya hanya mahu mendapat jawapan daripada kerajaan negeri. Itu sahaja. Adakah salah saya membangkitkan perkara yang berkaitan dengan Pulau Pinang.

"Kenapa sensitif sangat apabila saya bangkit isu perobohan gerai, pembinaan tokong di Pulau Jerejak dan gambar Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersalaman dengan seorang lelaki yang diambil dari Facebook." katanya.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri mengenai isu yang dibangkitkan walaupun cuba dihalang oleh Adun PR di dalam sidang dewan.  -SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...