Penjelasan terkini duta besar China. Bagaimanakah kedudukan hubungan China dengan Malaysia?

Penjelasan terbuka Duta Besar China ke Malaysia, Huang Huikang yang memanggil sidang media di kedutaannya di Kuala Lumpur menutup mulut banyak pihak yang cuba hendak beri tekanan kepada kerajaan dalam usaha pencarian MH370 yang hilang masuk hari ke 26.
Misteri kehilangan MH370 bukan hanya soal pesawat, tetapi juga ada yang hendak ambil kesempatan untuk renggangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang masuk tahun ke 40 sejak 1974.
Keakrapan inilah yang selalu dicemburui sehingga kejadian MH370 ini memberi ruang pada pihak-pihak berkenaan 'cucuk sana-cucuk sini' nak bagi rakyat kedua-dua negara melompat.
Kena ingat, ada 'batu api' yang agendanya tersembunyi ke tahap berani perlekeh tentera Malaysia yang kononnya 'lembab' dalam SAR sehingga timbulkan kemarahan rakyat China.
Bagi Duta Chine ke Malaysia, Huang Huikang yang kali pertama bertemu media khusus untuk bercakap soal tersebut, kemarahan dan luahan emosi melampau yang dizahirkan oleh rakyat China terutamanya waris 153 penumpang pesawat MH370 adalah disebabkan oleh laporan tidak berasas dan fitnah yang dibuat oleh media asing.
Kerajaan China tidak pernah sesekali menuding jari atau menyatakan rasa marah terhadap Malaysia selama ini malah menganggap kejadian ini mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada.
"Kami tidak pernah langsung marah dengan kerajaan Malaysia malah menghargai setiap usaha mereka dalam mencari pesawat hilang ini.
"Kami terhutang budi dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini. Kami langsung tidak marah,"
"Media asing telah melaporkan berita yang tidak berasas, sekali gus telah mencetuskan kontroversi.
"Di sini kami menggunakan peluang untuk membuat kenyataan menerusi media bahawa laporan yang tidak berasas itu telah memburukkan lagi situasi serta menyebabkan emosi waris semakin terganggu.
"Laporan tersebut juga telah menyebabkan hubungan baik China- Malaysia terjejas sedangkan apa yang pihak Malaysia telah lakukan kepada waris penumpang adalah sangat baik.
"Mereka menjaga rakyat kami dengan baik dan kami ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah bekerja keras semenjak hari pertama," katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Jelasnya, beliau memahami Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak telah secara berhati-hati memilih menggunakan perkataan 'berakhir' pada sidang akhbar 24 Mac lalu.
"Kenyataan memberi pelbagai makna dan kadang-kala disalah tafsir. Ada yang anggap ia bermaksud sebagai kehilangan, ada yang memahami sebagai terhempas, ada yang mentafsir tidak ada yang selamat.
"Saya faham Perdana Menteri (Najib) berhati-hati memilih perkataan. Tujuannya hanya untuk menggelakkan sebarang makna yang menyakitkan kepada keluarga penumpang," jelas Huikang.
"Kalau anda menyatakan secara terbuka bahawa pesawat terhempas dan tidak ada yang terselamat, ini akan memberi kesan mendalam kepada keluarga.
"Jadi, tolong faham tujuan (pengunaan perkataan berakhir) kepada perasaan keluarga penumpang," rayu Huikang.
Tegas beliau, orang ramai tidak sepatutnya terlalu fokus kepada makna perkataan 'berakhir', sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mencari.
Huikang berkata, beliau juga telah mendapatkan kepastian daripada pakar dan pegawai Malaysia mengenai maksud perkataan 'berakhir'  yang dibuat oleh Najib itu.
"Ia bermaksud penerbangan dari Kuala Lumpur selama 8 jam dan akhirnya tamat di selatan Lautan Hindi.
"Perkataan ini memberi panduan signifikan. Sebelum ini operasi mencari di koridor utara dan selatan. Dengan kesimpulan itu, kita hanya fokus usaha di koridor Selatan sahaja," kata Huikang.
Tambah Huikang, kerajaan China memahami bahawa tragedi yang berlaku itu adalah sesuatu yang tidak pernah diduga dan bukanlah perkara biasa dalam industri penerbangan awam.
Malah katanya, tidak adil meletakkan beban di bahu Malaysia sahaja sedangkan pesawat itu membawa 50 rakyat Malaysia itu selain membawa 189 penumpang rakyat daripada 13 buah negara lain dan ia telah disahkan mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi, 2,500 kilometer di barat Perth, Australia.
Ini bermakna banyak pihak perlu mengembeleng tenaga bagi memastikan usaha pencarian pesawat yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu dijumpai, tambah beliau.
Menurut Huikang, China sendiri telah menggerakkan aset-asetnya bagi menyertai misi pencarian dan penyelamat (SAR) terbesar dalam sejarah negara itu sejak hari pertama lagi dan berhasrat untuk menambah aset-asetnya.
"China dan Malaysia adalah satu keluarga, kita adalah rakan baik dan kita juga adalah jiran tetangga. Kami amat menghargai hubungan yang telah terjalin selama ini dan diharapkan selepas tragedi yang menyedihkan ini, hubungan di antara rakyat Malaysia dan China akan semakin erat.
"Tahun ini kita akan menyambut ulang tahun ikatan diplomatik yang ke-40 dan pelbagai program serta aktiviti telah diatur bagi meraikannya,” tegasnya.
Sejak dari hari pertama lagi, media-media asing memaparkan pelbagai laporan dan gambar yang menunjukkan emosi keluarga penumpang dari China sangat terkesan disebabkan insiden ini.
Kesedihan yang ditunjukkan mereka akhirnya membawa kepada kemarahan sehingga sanggup melemparkan botol kepada sukarelawan Malaysia, mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di China selain merempuh pusat media di Hotel Sama-Sama, Sepang sambil menjerit dan menangis.agendadaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...