Bekas ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah hari ini membuat laporan polis berhubung laporan akhbar Harakah yang didakwa telah menyiarkan kenyataan fitnah kononnya beliau telah diumpan kebendaan oleh UMNO untuk mengkritik dan mendedahkan kelemahan kepimpinan PKR.
Katanya, laporan berita yang dikeluarkan pada Jumaat hingga Ahad lepas dibuat menerusi kenyataan Ketua Wanita PKR negeri, Norhayati Jaafar, Timbalan Ketua cabang PKR Bukit Mertajam, Jab Samad dan Setiausaha PKR cabang Jelutong, Anuar Kamarudin di Galeri Pejuang Cheruk Tok Kun baru-baru ini.
"Tujuan saya membuat laporan ini kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Norhayati di Galeri Pejuang Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, dia memfitnah dan menyatakan saya diumpan kebendaan oleh Umno dan menuduh saya bersama dengan golongan yang zalim, menyeleweng serta rasuah”, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di sini.
Aminah berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan memberi tempoh seminggu kepada akhbar itu dan mereka yang terlibat membuat kenyataan itu untuk memohon maaf mulai hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment