Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan warisan sejarah Pulau Pinang dipercayai menjadi dalang kepada usaha halus untuk menghapuskan kesan sejarah dan warisan Melayu-Islam di negeri ini.
Perkara itu diakui ahli akademik dan pemimpin NGO Melayu bahawa usaha berkenaan dijalankan melalui kegiatan melobi Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya terus menumpukan usaha pemuliharaan di Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Akibatnya, banyak rumah ibadat dan bangunan lama bercirikan Melayu-Islam di luar Tapak Warisan Dunia UNESCO tidak diberi perhatian sewajarnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.
Agenda halus NGO terbabit menimbulkan polemik di kalangan pencinta sejarah dan warisan orang Melayu-Islam di negeri ini kerana kebanyakan mereka berpendapat masyarakat Melayu-Islam memberi sumbangan besar kepada kewujudan Pulau Pinang.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff, berkata pihaknya mengesahkan kewujudan ‘tangan halus’ itu yang mengakibatkan usaha pemuliharaan warisan Melayu-Islam diabaikan supaya tumpuan diberi kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Katanya, pengabaian itu percubaan memadamkan tinggalan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang, selain berniat menunjukkan orang Melayu bukan bangsa paling awal di negeri ini, sebaliknya Inggeris dan kaum lain.
“Warisan Melayu-Islam di luar tapak warisan dunia memang tidak mendapat perhatian pihak berwajib yang menyebabkan kami termasuk NGO Melayu lain terpaksa berusaha memuliharanya.
“Ini berlaku kerana ada usaha puak tertentu mahu menghilangkan kesan sejarah orang Melayu-Islam melalui pengabaian tinggalan sejarah dan ia wajar dihentikan segera,” katanya kepada Berita Harian.
Ahad lalu, laporan eksklusif media mendedahkan 42 tempat warisan di negeri ini, kebanyakannya kaya dengan sejarah Melayu-Islam tidak mendapat perhatian kerana pihak berwajib lebih menumpukan perhatian di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Perkara itu didedahkan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Dr Saidatulakmal Mohd, hasil maklum balas 238 borang diedarkan kepada orang ramai berhubung usaha pemuliharaan peninggalan lama di Pulau Pinang.
Pendedahan itu mengundang reaksi Persatuan Sejarah Malaysia dan menyifatkan tindakan mengabaikan bangunan bersejarah dan warisan Melayu-Islam di Pulau Pinang sebagai percubaan memadamkan bukti kewujudan penempatan Melayu di negeri ini sebelum kedatangan Inggeris.
2 comments:
Salam. Kalau dah tau ada perancangan jahat sebegitu, patutnya kerajaan persekutuan tolong la.
ni betoi ka dak ni ! Zaman DR Lim Cheong EEu jadi KM kemudian Koh Tsoo koon pun kerajaan BN tak ambil pusing pown. Tetiba menjelang PRU 13 macam-macam hal di dedahkan.
Pemerintah baik dari PR atau BN sama je.Cam Pelaq je.semua main isu nak menang je. lepas bila dah menang pakat-pakat sapu artamenda rakyaat bg kt Kriniiiiii..... tu je yg depa semua tau buat,yg lain apa pun tak boleh.
Post a Comment