Khir Toyo: Tiga menteri mahu saya dipenjarakan
Bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo mendakwa tiga menteri persekutuan dalam jemaah menteri sekarang sedang berkonspirasi bagi beliau dikenakan hukuman penjara atas tuduhan rasuah.
Dalam blognya hari ini, Dr Khir yang menulis mengenai 'memohon ampun dan maaf' sempena semangat Ramadan, berkata beliau tidak akan mendedahkan nama menteri-menteri berkenaan kerana tidak mendapat bukti yang sahih.
Namun katanya, beberapa sumbernya sangat boleh dipercayai.
“Dalam bulan yang mulia ini juga saya ingin mengingatkan tiga orang sahabat yang menjadi menteri dalam kabinet sekarang agar jangan keterlaluan untuk mengenakan saya,” tulisnya.
Dr Khir baru-baru ini diarah membela diri berhubung kes rasuah pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di Shah Alam, empat tahun lalu.
Katanya, konspirasi itu tersebar apabila seorang daripada menteri itu dilaporkan berkata kepada dua rakannya bahawa BN mampu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat jika dirinya didakwa.
“Seorang menteri dilaporkan berkata kepada dua orang menteri lain bahawa jika mahu mendapat kembali Selangor maka Khir Toyo perlu didakwa. Sekarang menteri yang sama berkata jika mahu menang Selangor Khir Toyo perlu dipenjarakan.
Kebodohan pemimpin
“Apakah mereka ini begitu besar boleh menguasai hakim perbicaraan? Saya tidak mahu percaya mereka berupaya mengarahkan hakim atau hakim akan mendengar arahan kumpulan ini,” tulis Dr Khir sambil menambah beliau masih percaya dengan kebebasan dan integeriti institusi kehakiman.
Beliau juga mengingatkan ketiga-tiga menteri berkenaan, agar menumpukan kerja mereka membantu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan terutama membabitkan potfolio masing-masing.
“Kenyataan bahawa jika Khir Toyo dipenjarakan maka BN akan dapat kembali Selangor hanya menunjukkan kecetekan pemikiran pemimpin tersebut yang tidak memahami keseluruhan isu rakyat di Selangor.
“Lebih daripada itu, ia menunjukkan kebodohan pemimpin ini seolah-olah majoriti rakyat Selangor tidak cerdik dan tidak boleh menilai fakta-fakta kes di mahkamah.
“Apakah pada hemat beliau rakyat Selangor secara majoritinya dungu, bebal dan bengap yang akan mengikut skrip sandiwara beliau?” soalnya lagi.
Menurut Dr Khir, majoriti rakyat terutamanya di Selangor mahu melihat keadilan undang-undang ditegakkan tidak kira ia di pihak Umno mahu pun di pihak parti-parti lain.
Dakwaan konspirasi oleh Dr Khir timbul apabila bekas menteri besar itu diarah membela dirinya pada perbicaraan yang dijadualkan bermula pada 26 September depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau dipersalahkan berikutan kekalahan BN di Selangor pada pilihan raya umum 2008 selepas memerintah negeri itu daripada 2000 hingga 2008.
Berikutan keputusan yang memalukan itu, Khir berundur diri. Jawatannya sebagai pengerusi perhubungan negeri Selangor diambil alih oleh Najib selaku presiden parti Umno.
Najib kemudian melantik Datuk Noh Omar, seteru Dr Khir sebagai timbalannya dan dilihat sebagai calon menteri besar baru jika BN mampu menang pada pilihan raya negeri akan datang.
Menurut spekulasi Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang.
2 comments:
SOALnya bukan SIAPA dua atau tiga menteri yang mahu 'mengenakan' Khir Toyo..
ISUnya sekarang, adalah satu kenyataan JIKA mahu menang Khir Toyo mesti berundur terus dari arena Politik Selangor. BerAdanya KT hanya memberi 'mileage' pada pihak lawan.
KT telah pun merasa sebagai MB selangor sekian lama..saya tak ingin kupas atau menuduh beliau apa apa tetapi yang sudah tu sudahlah..
Berilah juga pemimpin baru yang tidak terpalit dengan apa apa untuk meneruskan kepimimpinan UMNO atau akan dilihat sebagai pelapis BN.
Ramai lagi calun yang berkaliber, KT adalah sejarah..history. History yang patut dijadikan Teladan dan Sempadan. Inilah hakikat kehidupan.
Eloklah KT tumpukan perhatian pada kes mahkamah dia nanti. Lupakan Selangor...
saya tidak bercadang untuk menokok tambah tuduhan yg sedang di hadapi oleh Kt imbas kembali beberapa tahun yg lalu semasa KT baru memegang MB S,gor...banyak rungutan oleh rakyat S,gor sendiri yg mengatakan KT terlibat dalam rasuah kerana masa itu S,gor tgh banyak projek mega termasuk penembahbaikan jln pantai diantara S,gor dan Perak ketika itu.
Rakyat ketika itu tidak boleh berbuat apa2 hanya mampu merungut...ada aduan yg di buat ke BPR masa itu....tetapi tiada tindakan diambil kerana melibatkan MB BN mereka tak berani ambil tindakan dan PM pada masa itu TUN Mahathir....
saya rasa memang patut KT di hadapkan ke mahkamah dan di hukum penjara dan semua asetnya di rampas...jgn lah kata menteri itu menteri ini buat konspirasi..lihat cermin besar dan inbas kembali berapa banyak rasuah yg telah diambil semasa KT sebagai MB...dinasihatkan lupakan pasal politik ...dan buat lah taubat nasuha kerana pintu taubat masih terbuka,,,,dan tuhan masih sayang kan KT dgn memberi peluang kedua...
Post a Comment