Anwar terdesak ke jawatan nombor satu negara

Ketika parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sibuk melaungkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, ramai yang menilai cita-cita besar itu dengan pelbagai pandangan.

Dalam kebanyakan pandangan yang dikongsi, penulis tertarik dengan komen bekas orang kanan yang juga bekas Setiausaha Sulitnya, Anuar Shaari yang memberi mesej ringkas tetapi penuh makna.

Katanya, bekas majikannya kini terdesak, Anwar sedang mengejar masa. Pada masa sama terpaksa menepis segala masalah dalaman parti dan gabungan pembangkang serta isu peribadi yang dijaja kononnya itu serangan politik pemerintah dan musuhnya.

Jika diteliti, Anwar kini sudah berusia 64 tahun, tahap usia yang dianggap terlambat untuk duduk di kerusi nombor satu negara kerana ketika ini, beliau terlalu sibuk membaiki imej diri dan mengukuhkan kedudukan selaku pemimpin utama pakatan pembangkang.

Perlu disingkap sikit sejarah politiknya ketika berada di kerusi nombor dua negara. Ketika itu beliau dianggap calon paling sesuai untuk mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan boleh mendabik dada dengan status selaku Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sayangnya, ketika usianya memasuki era 50-an, beliau tidak sabar untuk berkuasa kerana beranggapan sudah tiba masa beliau mengambil alih jawatan daripada Dr Mahathir tetapi tersilap percaturan yang akhirnya memakan diri.

Dengan penuh yakin, Anwar menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk melancarkan gerakan mengukuhkan kedudukan dalam kancah politik. Segala jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) digunakan pada tahap maksimum demi memenuhi impiannya tetapi tersungkur di tengah jalan.

Kini, skrip sama sedang berlaku, beliau menggunakan sepenuhnya peluang untuk mengejar cita-cita yang dilihat semakin kabur.

“Dulu, dia terlalu ghairah dan terhimpit dalam mengejar jawatan dalam parti. Kini, dalam keadaan ‘mood’ orang muda, pemimpin sepertinya akan ditolak.

“Beliau sendiri menganjurkan supaya diwujudkan satu ruang untuk orang muda bersuara, menentukan hala tuju pemimpin mereka dalam organisasi. Tetapi pada masa sama dia sudah terlalu tua untuk duduk di kerusi itu, maka berlaku konflik. Dia sedang mengejar masa dan impian,” kata Anuar.

Dalam perjuangan menghambat masa, Anwar dilihat menggunakan strategi memanipulasi orang muda supaya menyokong, tetapi dalam keadaan dunia moden yang semakin berubah, pendekatan itu dilihat tidak begitu berkesan.

Alasannya mudah. Ketika beliau menjanjikan sesuatu kepada pemimpin muda, beliau pada masa sama menikam dan “membunuh” karier politik pemimpin muda berpotensi dalam pakatan pembangkang yang dianggap sebagai ancaman menjayakan agenda menjadi perdana menteri.

Sebab itulah tanda berselindung bekas orang kanannya itu menyifatkan Anwar seorang pemimpin “dictator” dalam usaha mengangkat dirinya sebagai calon unggul memimpin PKR dan pakatan pembangkang, sedangkan beliau sendiri tidak melalui proses pemilihan sebagai pemimpin dalam PKR dan menobatkan diri sebagai ketua tanpa pemilihan dalam parti atau persetujuan majoriti golongan bawahan.

Jelas, beliau menggunakan orang bawahan dan orang suruhan untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin parti tanpa proses pemilihan seperti yang mesti dilalui pemimpin lain. Maknanya beliau saja yang berkuasa dalam PKR bersama sekutunya supaya sentiasa berada dalam kedudukan selesa.

Ketika asyik melaungkan perjuangan menuntut keadilan melalui proses demokrasi, segala tindakannya itu jelas bertentangan dengan yang ditutur dan slogan dilaungkan.

Minggu lalu, Anwar tampil dengan kenyataan yang dilihat untuk memujuk hati ahli bawahan dengan menyatakan sudah ada calon sesuai menggantikan dirinya sebagai pemimpin pakatan pembangkang. Kenapa tidak terus menamakan saja calon pilihannya itu supaya penyokong tahu siapa bakal memimpin mereka.

Adakah calon itu ialah Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anak perempuannya, Nurul Izah atau pun Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali atau pun ada pemimpin lain. Sikap suka berselindung itu juga sebenarnya dianggap gimik dalam meredakan keadaan apabila sokongan bawahan dilihat semakin longgar apabila Anwar mengheret parti gabungan ke kancah masalah peribadinya.

Pengumuman itu sangat penting kerana ia boleh meneruskan kesinambungan tetapi dilihat tidak adil kepada penyokong yang setia kepadanya. Itu cuma gimik supaya penyokong tidak melarikan diri.

Beliau juga dilihat berdiplomasi dengan sekutu dalam pakatan pembangkang dengan keyakinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mampu meneruskan perjuangan jika beliau sudah tiada lagi, sedangkan ketika ini, penyokong PAS juga mula risau dan bimbang dengan budaya tidak sihat dibawa Anwar ke dalam gabungan pembangkang. Sikap memfitnah serta isu moral yang ditanggung Anwar jelas tidak disukai penyokong PAS.

Pastinya ramai yang mempersoalkan, jika itu berlaku kenapa ramai penyokong PAS datang menyokong Anwar terutama dalam setiap demonstrasi jalanan?

Jawapannya mudah, penyokong PAS sebenarnya tidak mendengar arahan Anwar tetapi mereka akur dan taksub kepada pemimpin mereka.

Mereka tidak boleh keluar daripada kepompong pemimpin ortodoks PAS yang mendakwa pemimpin harus dipatuhi, tidak boleh disanggah. — BH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...