Tu Dia! Saifuddin Terus Didesak Letak Jawatan!

Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) terus mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah agar meletakkan jawatan atas alasan seolah-olah memihak kepada kumpulan pelajar mengadakan perhimpunan dan demonstrasi menggesa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan.

Presiden Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah berkata, ia merupakan langkah susulan daripada tindakan mereka sebelum ini yang memberi Saifuddin agar meletakan jawatan dalam masa 14 hari selepas menerima memorandum mereka 21 Disember lalu.

Sehubungan itu katanya, mereka akan mengumpulkan tandatangan dan menyerahkan surat desakan agar meletakkan jawatan kepada Saifuddin, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

"Walaupun tempoh yang kami beri kepada Saifuddin untuk letak jawatan sudah tamat, itu tak bermakna kita akan berdiam diri. Kita akan hantar surat kepada Datuk Saifuddin mendesak agar dia meletakan jawatan berserta tandatangan daripada pihak berkepentingan dalam institusi pendidikan negara.

"Jika perlu, tandatangan ibu bapa mahasiswa yang menyokong, pensyarah dan kakitangan juga kami akan ambil.

"Tujuan kami mudah. Kami tidak mahu nasib adik-adik kami yang masuk universiti dikelirukan oleh pemimpin parti politik yang tidak bersama dengan aliran kerajaan," katanya pada sidang media Aspirasi menolak mahasiswa menyertai Himpunan 901 di Univeristi Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Selain itu, Shahar berkata, pihaknya akan mengumpulkan sebanyak mungkin tandatangan dan akan terus mendesak sehingga Saifuddin melepaskan jawatannya.

Jelasnya, tindakan Saifuddin yang menyebelahi kumpulan pelajar yang berdemonstrasi itu seolah-olah sebuah golongan minoriti yang ingin mentadbir negara, sama seperti parti pembangkang yang bercita-cita menawan Putrajaya.

"Jika dia betul-betul 'gentleman', saya minta agar dia keluar daripada kerajaan," ujarnya.-SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...