Perlukah Malaysia mempunyai seorang wakil dari kalangan artis untuk menjadi ahli dewan negara?
Sejauhmanakah keperluan nasib artis perlu dibela?
Bagaimanakah nasib golongan lain yang tidak mempunyai wakil?
Pada aku, kita sukar mencari individu di kalangan artis yang benar-benar berkelayakan bagi menggantikan Tan Sri Jins Shamsudin untuk menduduki kerusi dewan negara..
***********
Dua penggal, yakni tiga tahun Tan Sri Jins Shamsuddin menjadi wakil pertama industri seni sebagai Senator, pelbagai isu dibangkitkan berkaitan permasalahan karyawan tanah air. Sebanyak 15 isu diperdengarkan kepada ahli persidangan Dewan Negara termasuk isu Akta Hakcipta 1987 dan membentangkan usul kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan supaya menguatkuasakan peraturan kepada semua stesen televisyen membayar saguhati kepada pelakon di atas penayangan filem-filem dan lagu-lagu mereka.
Tidak kurang juga usahanya mencadangkan agar potongan sebanyak 11 peratus dikenakan bagi setiap bayaran yang diterima oleh pelakon dan 11 peratus lagi pula dipotong daripada bayaran yang diterima oleh pelakon untuk dicarumkan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Semua ini antara cara untuk menjaga kebajikan karyawan seni seperti pelakon supaya apabila mereka tua nanti, simpanan itu boleh digunakan bagi keperluan mereka sendiri.
Bagaimanapun selepas Jins tamat tugas sebagai Senator pada 2010, belum timbul ura-ura perlantikan baru wakil industri seni bagi jawatan itu untuk meneruskan ‘suara’ anak seni di dalam Dewan Negara. Apakah industri seni tidak memerlukan lagi wakil sebagai suara mereka di dewan penting itu? Atau apakah tiada yang layak untuk diangkat sebagai Senator baru di kalangan karyawan seni tanah air?
Menurut Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah, perkembangan industri seni yang beriringan kemajuan teknologi kemanusiaan hari ini secara totalnya memerlukan mereka yang tahu menguruskan industri keseluruhan.
“Sebaik muncul kurun ke-21, sebagai Kurun Informasi maka fungsi, peranan dan pengaruh industri hiburan telah berkembang ke period yang lebih besar, lebih luas dan lebih penting berbanding kepentingannya dalam kurun-kurun sebelum ini yang rata-rata hanya berlegar tentang posisi hiburan khususnya pada media-media seperti filem, televisyen dan bahan bercetak misalnya akhbar dan majalah.
“Kandungan hanya berpusat pada hal ehwal kehiburanan seperti naskhah-naskhah filem, drama, lagu, artis dan sebagainya. Sebaliknya sekarang adalah era ekonomi kreatif dengan industri kreatif sebagai salah satu industri utama, atau industri ketiga dalam KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara bahkan dunia seluruhnya.
“Maka tentulah untuk menguruskan industri kreatif memerlukan mereka yang memiliki keupayaan pengetahuan yang mendalam tentang makna, bentuk, kandungan, dasar-dasar, rencana strategi dan masa depan bukan sekadar hanya berasaskan pengalaman dalam industri hiburan semata-mata. Industri kreatif adalah industri masa depan, dan sebagai industri masa depan suatu pemikiran baru yang memahami posisi mengendalikan industri ini amat penting. Industri ini bukan lagi industri bakat, sebaliknya suatu industri intelektual dan futurisme yang memerlukan kecekapan ilmu dan keupayaan pengetahuan sepenuhnya,” katanya.
Jelas Abu Hassan yang juga penganalisi politik dan seni Malaysia lagi, memandangkan industri kreatif adalah sebuah industri yang sangat penting peranannya dalam pemajuan ekonomi dan sosial masyarakat di masa depan, sudah tentu industri ini memerlukan bukan sahaja profesional dan cendekiawan, pemaju dan pengusaha yang serius dan bijak, handal dan futuristik, malah turut menuntut keperluan para pemikir dan pelaksana polisi yang juga cekap dan intelektual.
Baginya, industri kreatif adalah industri intelektual. Industri ini memerlukan pakar-pakar kepimpinan dalam merencanakan strategi pembangunannya secara menyeluruh dan meluas. Jika merujuk pada demokrasi di negara kita, industri ini memerlukan lebih daripada seorang wakil yang boleh bersama merancang dasar-dasar masa depan di Parlimen.
Besar fungsinya untuk industri, kata Abu Hassan.
“Misalnya pelantikan sebagai Senator dan tentulah peranan mereka bukan sekadar untuk menjadi pelakon dan watak penghias di Parlimen kononnya ada wakil bagi industri kreatif ini sebagaimana ada wakil bagi kumpulan masyarakat yang lain.
“Industri kreatif adalah industri terbesar menjelang 2015 dan akan menjadi industri yang paling lama berpengaruh bukan sahaja terhadap ekonomi malah seluruh sistem sosial masyarakat. Senator yang hendak dilantik mestilah mereka yang memiliki kebolehan luarbiasa dalam merencanakan polisi industri kreatif secara mikro dan makro, dan juga berupaya menterjemahkannya dalam pelan tindakan strategikal yang sempurna dan jelas.
“Pengalaman sebagai pengarah filem, atau penari kebudayaan tentulah tidak cukup meskipun boleh, dan penglibatan dalam hubungan politik juga bukan bermakna apa-apa pada industri ini sekira Senator yang sepatutnya menjadi penggerak kebijakan hanya sekadar seorang pelakon tambahan di Parlimen,” katanya yang turut menjadi panel kritik untuk Pilih Kasih musim ke-3 ini.
Selepas Jins, Abu Hassan berasakan terdapat beberapa tokoh baru yang boleh menerajui perubahan bagi industri ini, antaranya ialah Aziz M Osman, Aznil Haji Nawawi, Rosyam Nor, Erma Fatima dan mungkin dari lapangan selain filem misalnya Datuk Faridah Merican.
Rosyam Nor
“Industri kreatif memerlukan tokoh yang memahami lingkaran industri dan ekonomi kreatif ini sepenuhnya, bukan orang politik. Industri ini adalah industri intelektual yang melibatkan keperluan sebuah gerakan yang serius dan genius.
“Aznil Haji Nawawi bukan sahaja seniman dan artis yang mendapat sokongan masyarakat, malah mempunyai pendidikan tinggi yang mampu merencanakan pemikiran dan tindakan sewajarnya bagi pemajuan industri ini.
“Aziz M Osman selain dari kemampuan sebagai pemain utama dalam industri, dia mempunyai kepimpinan dan kebolehan yang sangat dinamik dan pragmatik, menjadi contoh penglibat seni budaya tanah air yang serius dan berpandangan jauh. Beliau adalah ciri pemimpin yang boleh membantu usaha memajukan industri.
“Begitu juga Rosyam Nor, selain daripada seniman yang cemerlang, beliau turut berjaya dalam industri seni budaya tanah air dengan segala macam produk dan penerbitan, malah telah menjayakan pemajuan industri kreatif secara tersendiri. Beliau telah menunjukkan arah yang tepat dalam membawa industri ini.
“Kedudukan ini sama dengan Erma Fatima, begitu juga Faridah Merican. Mereka adalah sosok tokoh seniman yang berjuang memartabatkan industri kreatif secara dinamik dan pragmatik maka wajar untuk menempatkan mereka dalam menguruskan industri ini ke masa depan yang lebih berjaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment