Bila Rafizi nak masuk Umno?



Ada ketika, tidak banyak beza antara ahli politik dan biskut. Maksudnya jenama biskut popular dengan iklan ‘sekejap ada, sekejap tiada’. Dalam maksud politik atau political sense, hal seperti ini lebih kerap berlaku berbanding fenomena ‘sekejap naik sekejap turun’ yang sering dikaitkan dalam dunia politik.
Ambil sahaja Anwar Ibrahim sebagai contoh. Entah bila, tiba-tiba dia sudah ‘ada’ dalam politik Malaysia – ke hulu ke hilir menyanggah dasar kerajaan, menimbulkan cerita kononnya ada orang mati kebuluran di Baling, pijak bendera Umno dan macam-macam lagi.
Sekejap kemudian Anwar ‘tiada’ kerana dihadiahkan percutian panjang di Kamunting. Bila ada semula, kedamaian dan ketenteraman Kamunting serta barangkali angin segar dari Bukit Larut telah menjuwanakan mindanya sehingga membolehkan beliau berfikir lurus dan menyertai Umno.
Secara relatif, ke'ada'an Anwar dalam Umno dan kerajaan pun cuma sekejap sahaja.
Satu ketika dulu, parti pembangkang, sama ada di luar atau di dalam Parlimen dan Dun berjuang untuk rakyat. Apa sahaja tindak-tanduk, dasar, amalan dan keputusan kerajaan dirasakan tak betul, mereka menggunakan dewan tersebut serta media untuk menyalurkan protes.
Mereka cukup berintegriti dan berniat suci. Apa nak jadi, jadilah, tapi set minda mereka ditetapkan iaitu memperjuangkan dan melindungi kepentingan rakyat. Mereka tak berminat untuk jadi menteri atau mempengerusikan agensi kerajaan. Oleh itu fenomena sekejap ada sekejap tiada dalam parti yang menjadi platform mereka jarang berlaku.
Lihat sahaja Allahyarham Fadhil Noor dan Allahyarham Razak Ahmad. Walaupun ada usaha mengumnokan kedua-dua pemimpin pembangkang ini, mereka kekal dengan parti masing-masing sehinggalah ke akhir hayat.
Kini parti pembangkang hilang minat untuk menjadi pembangkang selama-lamanya. Mereka mahu menguasai kerajaan negeri dan lebih penting mahu ke Putrajaya. Tentu masih ingat betapa berkeyakinan Anwar dan rakan Pakatan Rakyat memberitahu seluruh dunia bahawa mereka akan menguasai Putrajaya pada Hari Malaysia dua tahun lalu. Kita juga tahu akhirnya ‘habuk pun tarak’. Tapi itu tidak semestinya mereka berputus asa.
Mungkin hal ini yang membawa PKR meng'ada'kan pemimpin baru yang tiba-tiba 'ada' dan tiba-tiba menonjol. Lihat sahaja Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR yang tiba-tiba muncul sebagai national hero of PKR. Kedudukannya untuk dicalonkan bertanding dalam PRU 13 tentulah terjamin dan dijamin, bukan oleh Lever Brothers tetapi oleh Anwar sendiri.
Serangan yang dimulakan dengan isu seperti kes NFC dan kini perbelanjaan majlis pertunangan anak Perdana Menteri mengangkat namanya sehebat nama Azmin. Dalam konteks inilah kenaikan Rafizi dilihat secara mendadak macam dipersiapkan untuk mengambil alih tempat Azmin ataupun Anwar suatu masa nanti. Tambahan pula PKR semakin ketandusan barisan pelapis kerana ramai tenaga mudanya dilanda fenomena baru — Parti Keluar Ramai.
Rafizi terlebih dulu terpaksa membuktikan dia lebih hebat daripada Ezam Mohd Noor ataupun Zulkifli Nordin jika mahu dipinang Umno. Rafizi sudahpun bertemu Khairy Jamaludin di London. Mereka berdebat dalam keadaan penuh mesra – saling puji memuji. Ada pihak sudah mula mengandaikan, kalau Khairy mahu seorang naib yang mampu membaik pulih imej Pemuda Umno, Rafizi memiliki segala resipinya.
Kejayaan Rafizi ialah mendedahkan isu NFC sehingga memaksa Shahrizat Jalil berundur dari Kabinet dan suaminya (Dr Salleh Ismail) didakwa di mahkamah.
Namun tindakannya itu sebenarnya bukanlah baru dalam konteks budaya pembangkang era baru ini. Modus operandi mereka adalah mudah, cari isu dan dedahkan isu berkenaan dengan segala tokok-tambahnya. Ia tidak perlu dibuat dalam Parlimen atau sidang Dun. Di mana-mana sahaja pun boleh dan Ahli Parlimen Pembangkang bertindak sebagai penyambung lidah mereka di dewan berkenaan.
Kadang-kadang cara ini sama dengan cara Freemason dan Zionis mengindoktrinasi dan mengawal minda kita. Kebanyakannya perkara tidak boleh diterima akal atau tidak logik, namun tanpa disedari, akhirnya ramai mempercayai dan malah membudayakannya.
Freemason dan Zionis mahu menguasai dunia, manakala PKR dan Pakatan Rakyat pula mahukan Putrajaya.
-SH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...