Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengalami peningkatan semula berbanding kedudukan Ogos lalu, kata kajian kendalian Merdeka Center hari ini.
Kajian terbaru firma itu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.
Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.
Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.
Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.
Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.
"Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan.
Menurut Ibrahim, sokongan ke atas kepimpinan Najib sangat tinggi di kalangan isi rumah berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan iaitu sekitar 78 peratus.
Seramai 80 peratus masyarakat India dan 74 peratus kaum Melayu dalam kumpulan pendapatan itu memberi sokongan positif ke atas kepimpinan Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno. Najib juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Kajian terbaru Merdeka Center kali ini juga menunjukkan bahawa rasa puas hati sangat tinggi di kalangan responden yang berusia 50 tahun dan ke atas.
Seramai 73 peratus responden berusia 50 tahun dan ke atas berpuas hati dengan pendekatan Najib berbanding hanya 64 peratus di kalangan mereka berusia 21 hingga 30 tahun.
"Hasil kajian juga menunjukkan bahawa sehingga satu pertiga responden yang condong ke arah Pakatan Rakyat dilihat berpuas hati dengan Perdana Menteri - yang menunjukkan bahawa sokongan sedemikian tidak semestinya akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada parti pemerintah (Barisan Nasional)," kata beliau lagi.
Dalam ulasannya juga, Ibrahim berkata, pihaknya berpendapat bahawa peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya.
Meskipun kadar puas hati ke atas Perdana Menteri tinggi, kata Ibrahim, kajian yang sama menunjukkan bahawa pengundi masa was-was dengan kerajaan persekutuan.
"Hanya 48 peratus responden berkata mereka gembira dengan kerajaan," kata beliau.
"Kajian juga menunjukkan bahawa pandangan positif terhadap kerajaan sangat tinggi di kalangan pengundi berusia tetapi rendah di kalangan pengundi muda, dengan hanya 39 peratus pengundi di bawah 30 tahun gembira dengan kerajaan berbanding 54 peratus di kalangan mereka berusia 60 tahun dan ke atas," katanya.
*************
A.S:Alhamdulillah, walaupun pelbagai tohmahan, fitnah dan hasutan yang telah dilakukan oleh juak pakatan haram, namun majority rakyat masih waras berfikir yang mana intan yang mana kaca serta yang mana banyak temberang, yang mana banyak menyumbang.
Anwar tentu naik pening walaupun 1001 usaha untuk memburukkan kepimpinan DS Najib, namun setakat ini tampak belum sukses. Diharapkan sokongan kaum India kan terus kekal melebihi 80% dimana jika ini berlaku banyak kerusi parlimen dan DUN akan dapat dirampas semula.
No comments:
Post a Comment