Gaji Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Hanya RM328?

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hampir menjadi wartawan Bernama ketika beliau mencari pekerjaan lebih 40 tahun lalu.Ketika menjadi hos majlis berbuka puasa kira-kira 250 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia itu malam tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menceritakan bahawa beliau pernah memohon kerja di akhbar The News Straits Times, Bernama dan Bank Negara Malaysia (BNM) selepas tamat tingkatan enam pada tahun 1968 di Pulau Pinang.

Ketika itu beliau berumur 21 tahun."Tawaran pertama yang saya terima ialah daripada Bernama. Bernama ketika itu menawarkan saya jawatan cadet journalist (pemberita kadet), gaji RM240, dicampur elaun mesin taip RM30 dan elaun pengangkutan RM30. NST tawarkan gaji serupa tapi jawatan yang diberi ialah reporter (pemberita), tak begitu glamor bunyinya. Cadet journalist lebih glamor," katanya yang mengundang ketawa mereka yang hadir di majlis itu.

Bagaimanapun minat untuk menyertai Bernama tidak menjadi kenyataan apabila beliau menerima tawaran daripada Bank Negara sebagai kerani dengan gaji yang lebih tinggi RM328.

Nor Mohamed kemudian menyertai Jabatan Sumber Manusia BNM yang sebelum itu dikenali sebagai Jabatan Kakitangan, sebagai petugas paling muda.Pada masa itu, katanya, beliau perasan kerusi-kerusi di jabatan itu tidak ada tempat letak tangan, kecuali kerusi bosnya.

"Suatu hari saya tanya bos saya kenapa kerusi saya tiada tempat letak tangan. Jawapannya:'Saya pegawai, hang (awak) kerani'. Saya beritahu beliau yang saya tahu saya kerani tapi kenapa kerusi saya tiada tempat letak tangan. Beliau kemudian menjawab:'Hang kerani, tugas hang tulis, satu hari 8-9 jam hang tulis.Itulah peranan sebagai kerani. Saya pegawai, saya kena letak tangan saya di tempat letak tangan dan berfikir.

"Saya pun berfikir, saya sepatutnya terima tawaran kerja di Bernama dulu," katanya yang sekali lagi mengundang ketawa hadirin.

Menteri itu juga bercerita mengenai kemajuan kerjayanya di BNM yang bermula daripada seorang kerani hingga meningkat naik menjadi Penasihat Khas BNM, bertanggungawab menasihati gabenor BNM mengenai dasar kewangan pada 7 Sept 1998 hingga 23 April 2000.Pada 15 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad. - Bernama

Published with Blogger-droid v2.0.6

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...