Bukannya mudah untuk ke Gaza. Bukan macam pergi memancing ikan di Ceruk Tok Koon sambil makan sandwic. Bukan juga macam balik ke Kota Bharu untuk pekena nasi kerabu berlaukkan budu di Pasar Khadijah.
Justeru, biarpun buat seorang itu bertaraf perdana menteri hatta presiden sekalipun, bumi Gaza tidak menyediakan selimut keselamatan atau pakaian kalis peluru untuk pengunjungnya.Bagi Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia, isu Palestin dan Gaza merupakan isu agama yang tidak pernah padam dari peta perjuangannya.
Di PBB, Malaysia mengambil pendekatan diplomatik manakala dalam negara, sokongan ditunjukkan melalui pelbagai cara.Paling kecil program puisi serta lain-lain program kemanusiaan menjadi sebahagian dari atur cara.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dilihat menjuarai perjuangan rakyat Palestin di luar negara itu.Sokongan rakyat Malaysia pada perjuangan rakyat Palestin bermula jauh lebih lama dulu.
Dalam tahun 1970an lagi, belia-belia Malaysia mendepani cabaran bagi menyuarakan sokongan kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat.Tanpa memikirkan apa saja risiko, mereka sanggup berdemonstrasi di depan kedutaan Amerika Syarikat. Bendera Israel dan AS serta juga potret Presiden AS sering dibakar bagi merakamkan protes dan kebencian.
Pada ketika itu, Anwar Ibrahim muncul memainkan peranan sebagai salah seorang pemimpin muda yang berjuang menentang kemaraan rejim Israel serta mahukan Palestin bebas sepenuhnya.
Usianya belum pun mencecah 30 tahun namun dari segi komitmen dan semangat, isu Palestin serta kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin diberi keutamaan. Anwar dan Palestin sudah jadi macam aur dan tebing.
Tapi itu dulu. Bak kata orang, lain hulu lain parang. Kalau dulu tidak lengkap atau tidak cukup syarat jika rombongan Arab dan Palestin tidak menemui Anwar di pejabat beliau di Abim terletak di Jalan Pantai Baru, hari ini sokongan Anwar terhadap perjuangan Palestin hanya suam-suam kuku.
Ini cukup berlawanan dengan imej Anwar dulu, Presiden Abim yang paling prolifik.Justeru bagi umat Islam di Malaysia kalau Najib tak boleh pergi, Anwarlah yang patut mengetuai rombongan ke Gaza ataupun ke Palestin.
Tapi, seperti yang dikatakan, Anwar macam terpisah dari Palestin. Umno pula sudah lama memberi keutamaan pada Palestin.Dasar yang pro Palestin menyebabkan rejim Israel melihat kita dengan geram. Para pemimpin di Amerika Syarikat yang pro Israel juga tidak senang dasar luar Malaysia.
Dr Mahathir semasa masih menjadi perdana menteri dan sehingga sekarang dilabel anti Yahudi dan anti Amerika.Kita melihat apa yang Najib lakukan telah dimulakan kerajaan BN (dulu Perikatan) dan Mahathir jauh sebelum Anwar menjuarai isu Palestin dalam tahun 1970an. Mahathir belum menjejak kaki ke Gaza namun gambarnya terdapat di banyak tempat.
Rakyat Palestin dan Gaza mengenali Najib sebelum Perdana Menteri melakukan lawatan bersejarah itu.Justeru bagi Anwar, lawatan Najib ke Gaza lebih bermotif politik untuk meraih sokongan umat Islam.
Katanya “Helah lebih terserlah. . . .dalam usaha memenangi hati umat Islam di sini, mereka tidak sedar mereka melakukan kekhilafan.”Tapi kenyataan di atas tentu tidak sama dengan lawatan Perdana Menteri menyaksikan sendiri penderitaan rakyat di Gaza.
Bagi Najib ia memulakan suatu perjalanan yang tidak berani dibuat pemimpin asing dari Barat mahupun Timur.Najib mengambil risiko dengan lawatan ini yang kurang disenangi Barat apatah lagi Amerika Syarikat dan Israel.
Bagi Israel, Malaysia bakal masuk dalam sejarah baru hubungan tidak rasmi ini. Masa depan Malaysia dan Islamnya di sini bakal diuji melalui pelbagai cara.Sama ada kita suka ataupun tidak, pertukaran rejim yang menjadi amalan Barat adalah kerana mahukan Malaysia ikut acuan mereka. Kalau tak boleh gantikan kerajaan, gantikan pemimpin yang pro mereka.
Hal sebegini disedari Dr Mahathir sehingga banyak tulisan dalam blog serta ucapannya menjurus ke arah subjek ini.Maka tidak hairan jika dulunya Anwar dilihat pemimpin Islam yang lantang mendasari perjuangan Palestin.
Lama kelamaan Anwar duduk di kerusi belakang manakala barisan depan pula, Najib dan Umno. Sama ada ia helah politik ataupun pilihan raya, langkah Najib ke Gaza harus mendapat penghargaan.
Bagi Anwar ataupun sesiapa saja dalam Pas, jika mereka tak mampu melakukan apa yang Najib buat, elak dari mencemburuinya. Dengan mengkritik Najib bererti mereka menambahkan lagi derita rakyat Palestin.-SH
No comments:
Post a Comment