Setiap kali Ramadhan, tersebarlah hadis palsu ini. (30 Kelebihan solat tarawih)


AMARAN JAKIM - Hadith Palsu Solat Tarawih.

Orang ramai, termasuk media massa perlu merujuk dengan Majlis Agama Islam negeri jika ada pihak menyebar risalah atau mengumumkan fadhilat solat tarawih bersandarkan hadith palsu mengikut kelebihan setiap malam sepanjang Ramadhan. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Abd Aziz Sheikh Wan Mohamed, berkata pihaknya maklum mengenai isu berkenaan yang pernah timbul beberapa tahun lalu yang dipercayai dipelopori golongan Syiah.

“Hal berkaitan hadith seumpama ini sememangnya diketahui pihak berkuasa agama dan sesiapa yang berhadapan dengan situasi berkenaan diminta segera merujuk kepada Majlis Agama Islam negeri bagi mengelak sebarang kekeliruan."

Baru-baru ini, akhbar ini menerusi ruangan Surat & Emel menyiarkan rungutan pembaca, Rahman Ariffin dari Shah Alam yang bimbang kerana masih ada jawatankuasa masjid dan surau yang mengumumkan kepada jemaah fadhilat solat tarawih bersandarkan hadith palsu.

Rahman yang dukacita dengan tindakan sesetengah pihak yang menghebahkan kelebihan solat tarawih mengikut giliran malam itu, meminta Jakim atau Majlis Agama Islam negeri supaya mengingatkan umat Islam mengenai perkara ini.

Kelebihan solat tarawih mengikut hari itu pernah dipaparkan dalam akhbar dan televisyen sebagai galakan kepada umat Islam menunaikan ibadah sunat, menyebabkan umat Islam memenuhi masjid dengan harapan memperoleh pahala besar tanpa menyedari mereka tidak mendapat penjelasan yang sebetulnya.

Hadith Ganjaran Tarawih Pada Malam-Malam Tertentu Adalah HADITH PALSU.

Setiap tahun apabila menjelangnya Ramadhan, maka sebuah hadis yang amat popular tentang Fadhilat Solat Tarawih kembali tersebar dengan luasnya. Hadith tersebut ialah satu hadith yang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagiannya adalah seperti berikut:

"Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah SAW telah bersabda (berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan) antaranya:

Malam Pertama:

Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan.

Malam Keempat:

Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Sehinggalah ke malam yang ke-30...

Ulama' hadith dengan kaedah dan disiplin ilmu yang sahih telah memutuskan bahawa ianya bukanlah hadith. Atau disebut sebagai HADITH PALSU. Penyebaran hadith ini seharusnya telah lama dihentikan kerana saban tahun peringatan tentang kedustaannya telah dilakukan. Antara yang mengeluarkan kenyataan tentang kepalsuannya adalah Institut al-Qur'an dan al-Sunnah, Kelantan. Ianya juga didapati di dalam laman web Mufti Negeri Terengganu.

Antara disiplin ilmu di dalam memahami hadith ialah ianya melalui jalan dirayah dan riwayah bagi memastikan kedudukan sesuatu hadith terhadap matan (ayat hadith) dan sanad (rangkaian periwayatan hadith). Kedua-dua perkara ini dipastikan ketulenannya dan tidak harus mempunyai syaz (pelik) dan illat (cacat). Hadith-hadith telah dikumpulkan, disaring dan diriwayatkan dengan sempurna oleh ulama' hadith pada sekitar tahun 200H-300H. Antara muhaddithin (ulama' hadith) yang diiktiraf dari kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di dalam meriwayatkan hadith antaranya adalah Imam Bukhari (194H-256H), Imam Muslim (204H-261H), Imam Abu Dawud (202H-275H), Imam at-Termizi (209H-279H), Imam an-Nasa-i (215H-293H) dan Imam Ibnu-Majah (207H-273H)

Selain hadith-hadith sahih, terdapat juga hadith-hadith hasan, dhaif ataupun palsu di dalam kitab-kitab mereka. Namun, ini tidak merendahkan kedudukan ilmu mereka. Pengkelasan ini dibuat oleh ulama' yang kemudian dengan kaedah yang sangat detail. Antaranya ulama' hadith mengkritik kepada sanad iaitu perawi-perawi hadith. Mereka telah mengenal pasti siapakah yang dipercayai dan siapakah yang dusta. Nama-nama periwayat hadith dikumpulkan atau ianya di dalam cabang ilmu yang dinamakan dengan ilmu rijal atau ilmu jarh wa-al Ta'dil. Keseluruhan kaedah memahami hadith ini adalah terangkum di dalam ilmu Mustalah Hadis atau 'Ulum Hadith.

Antara ulama' kemudian yang bertanggungjawab untuk mengklasifikasi dan menafsirkan hadith adalah seperti al-Hakim al-Nisaburi, Ibn-Kaithir, Abd Rahim al-Iraqi, Ibn-Hajar al-Asqolani, adz-Zahabi, Taqiyyudin at-Taimiyyah, Ibn-Qayyim al-Jauziyyah, Ibnu-Jauzi, Nasaruddin al-Albani dan ramai lagi.

Hadith-hadith yang benar dan palsu diasingkan. Subhanallah, Allah telah menganugerahkan ilmu yang begitu hebat kepada mereka di dalam mengawal dan memastikan ketulenan rujukan umat dari al-Qur'an dan al-Hadith.

Berbalik kepada hadith fadhilat solat sunat tarawih. Ianya tidak didapati di dalam mana2 kitab hadith yang benar dan juga di dalam kitab2 hadith yang palsu. Ini bermakna ianya baru sahaja direka oleh golongan yang melampau. Segala pertimbangan di dalam menilai kepalsuan sesuatu hadith telah cukup bagi membuktikan bahawa hadith ini adalah hadith palsu. Antaranya; pada sanad, tidak langsung mempunyai rangkaian periwayatan. Pada matan, ternyata mempunyai syaz (pelik) dan illat (cacat). Dipercayai hadith ini direka oleh golongan Syiah bagi mengangkat ketokohan Sayyidina Ali dan bagi melekakan umat Islam di dalam mengharapkan balasan yang tidak dijanjikan oleh Allah dan Nabi-Nya Muhammad SAW. Kita tidak menafikan ketokohan Saiyidina Ali dan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya di dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu di dalam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Penyebaran hadith-hadith palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadith Rasulullah SAW yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama terdahulu.

Di dalam beramal di bulan Ramadhan ini dan untuk mengharapkan ganjaran dari Allah SWT, cukuplah bagi kita dengan hadith yang SAHIH dari Rasulullah SAW berkenaan menghidupkan malam Ramadhan yang bermaksud (terjemahan): “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Al-Bukhari) Ada yang menganggap mengingatkan umat Islam tentang kepalsuan sesuatu hadith adalah perkara yang remeh dan tidak perlu diperbesarkan. Sedangkan mereka lupa kepada janji Rasulullah SAW akan balasan neraka terhadap pendusta hadith dan amaran ini didapati hampir di dalam semua kitab-kitab utama hadith.

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya(terjemahan): “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Bukhari, Muslim) Hadith ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai ke peringkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi SAW sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah : “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya” (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith)

Kita memohon kepada Allah agar kita bukanlah dari kalangan yang sengaja menyebarkan hadith-hadith palsu dan memohon keampunan di atas segala kesilapan yang kita sedari atau tidak selama ini. Semoga Ramadhan tahun ini tidak dibaluti dengan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW.

1 comment:

Anonymous said...

Jutaan terima kasih diatas maklumat saudara yg amat berguna. Mudah-mudahan jasa baik tuan diberkati Allah..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...