Surat Terbuka Untuk Bakal Calon BN PRK Kuala Besut Dari Sahabat Pemimpin Pas

Ustaz Nik Zulhaiza Pegawai Pejabat Agama Daerah Dungun Bakal Calon BN

Surat Terbuka Untuk Bakal Calon PRK N01 Kuala Besut

Sahabatku Ustaz Nik Zulhaiza yang dihormati,
Pilihanraya Kecil Kuala Besut adalah suatu catatan sejarah penting bagi Negeri Terengganu khususnya dan politik Malaysia amnya. Di saat margin perbezaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu terlalu hampir, takdir Allah mengatasi segalanya. Semoga Allah mengampuni arwah yang telah pergi dan kita yang tinggal perlu terus menggalas tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah.

Sahabatku,
Melihat laporan media, nama saudara antara yang tersenarai sebagai bakal calon mewakili BN dalam PRK nanti, tentunya saya sebagai sahabat yang paling awal akan mengutuskan ucapan tahniah. Tentunya kenangan kita bersama di Sekolah Menengah Agama Maarif, Kampung Raja sekitar tahun 1988-1989 dulu masih segar diingatan. Tinggal bersama di Asrama Yayasan Terengganu, bersama bermandi peluh mewakili sekolah dalam pasukan bolasepak, bersama mewakili sekolah dalam ‘musabaqah’, saudara sebagai qari, saya sebagai pemidato. Kebolehan saudara dalam mengalunkan ayat-ayat suci al Quran sangat saya hormati.
Walaupun kita sekarang berbeza lapangan, saudara sebagai Qadhi, saya sebagai pengamal perubatan tetapi saya yakin, kita sama-sama bekerja untuk meninggikan syariat Allah yang tertulis di dalam al Quran tersebut. Al Quran ini jugalah yang diletakkan oleh parti dokongan saya, PAS! sebagai sumber rujukan tertinggi.

Sahabatku Nik Zulhaiza,
Sejujurnya, saya tidak memaklumi sekiranya saudara ada memegang apa-apa posisi jawatan di dalam Umno walaupun saudara tentunya memaklumi bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS Terengganu yang pernah bertanding mewakili parti di dalam Pilihanraya Umum. Perbezaan pandangan politik ini diharap tidak menghalang kita untuk kekal saling menghormati dan menghargai.

Sahabatku,
Sebagai Qadhi, sahabat tentu lebih memaklumi bahawa menjadi calon pilihanraya untuk memikul amanah kepimpinan adalah suatu ‘tragedi’ bagi mereka yang memaklumi beratnya persoalan yang akan ditanggung di hadapan Allah di ‘yaumul hisab’ nanti. Kerana itulah, ucapan tahniah saya sekiranya saudara dipilih adalah bersyarat supaya saudara memikirkan sehalusnya beberapa perkara berikut;

Yang pertama, saya memberikan pesanan kepada saudara supaya bertaqwa kepada Allah kerana ketaqwaan kepadanya akan memberikan jalan keluar bagi setiap masalah yang kita hadapi.

Yang kedua, saya mengingatkan diri saya dan saudara bahawa dengan amanah kepimpinan yang dipegang, kita wajib untuk kita menyebarkan kebaikan dengan semampunya dan mencegah kemungkaran dengan sehabis daya. Apatah lagi apabila kita adalah sebahagian dari kerajaan yang memerintah.

Yang ketiga, sekiranya kita tidak mampu melakukan kebaikan, hendaklah kita memberikan pertunjuk dan membantu orang lain yang ingin melakukan kebaikan. Jangan sekali-kali dengan kuasa yang kita ada, kita menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin melakukan kebaikan.

Yang keempat, keharmonian masyarakat perlu dipelihara dan jangan sekali-kali sebagai pemimpin kita menjadi pencetus suasana tidak sihat dalam masyarakat. Hendaklah berusaha keras untuk menolak apa sahaja yang tidak membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

Yang kelima, memikul amanah kepimpinan bermakna memikul tugas khilafah di atas muka bumi. Khalifah bermakna penganti. Menganti dengan makna kita perlu mentadbir muka bumi ini sebagaimana yang dikehendaki oleh tuan punya bumi ini, Allah!

Yang keenam, berhati-hatilah dengan kenikmatan duniawi yang selalu akan datang mengiringi ‘anugerah’ jawatan dan kepimpinan. Akibat buruknya telah banyak merosakkan ramai manusia dan keperibadian insan.

Akhir sekali, saya berdoa semoga Allah melimpahkan rahmat kepada saudara dan keluarga. Ingatlah misi utama sebagai pemimpin adalah untuk menjaga kemurnian agama dan memimpin dunia dengannya. Islam adalah agama yang memiliki batasan-batasannya, ketentuan-ketentuan. Sesiapa yang dapat melaksanakan dengan sempurna maka sempurnalah imannya dan sesiapa yang belum dapat melaksanakan dengan baik, belum sempurnalah imannya.

Dr Azman Ibrahim
AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu

4 comments:

Anonymous said...

kenapa tak ingatkan ke pemimpin2 pas dn pkr -

Anonymous said...

Setuju pendapat anon 1.41pm.
Puak ni memang pandai bersandiwara. Pada pihak mereka semua dibuat dikaitkan dengan Al-Quran. Tetapi bila dilihat mereka ini sebenarnya hanya hipokrik.

Anonymous said...

Dia tau ... pemimpin PAS bukan boleh dinasihat atau ditegur kerana mereka telah maksum ...apa saja perbuatan mereka telah diampun hatta berkhalwat dalam bilik dengan perempuan yang tidak halal ... kerana itu dia nasihat orang lain dari PAS .. tak apa ...satu nasihat yang baik ...setiap yang baik kita ambik ....

Anonymous said...

aku ore besut...aku sokong UMNO dr dulu kini dn slamanya...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...