MESEJ Terakhir Fariq Hamid Sebelum MH370 Hilang...


SEPANG - Komunikasi terakhir daripada kokpit penerbangan MH370 dilakukan oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, sebelum pesawat ke Beijing itu hilang pada awal pagi 8 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Ahmad Jauhari Yahya dalam sidang media harian berkenaan perkembangan terkini pencarian MH370 hari ini, berkata berdasarkan siasatan awal, Fariq yang menghantar mesej radio terakhir "all right, good night" pada 1.19 pagi sebelum pesawat hilang daripada imbasan radar.

Beliau berkata nada suara Fariq juga tidak menunjukkan tanda-tanda stres ketika mengucapkan "all right, good night". (baiklah, selamat malam)

Ahmad Jauhari mengulangi transmisi terakhir Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) diterima pada 1.07 pagi.

"Bagaimanapun kami tidak tahu bila ACARS dimatikan selepas itu," katanya.

Beliau berkata syarikat itu mempertimbangkan untuk memperkasa ujian rutin aspek psikologi, psikometrik dan psikomotor juruterbang selain memperketat syarat pengambilan baharu.

Beliau berkata syarikat kini dalam 'code tango', iaitu kod dalaman yang bermakna kod keselamatan yang dipertingkatkan, dan syarikat meneliti semua kemungkinan petunjuk atau kelemahan.

Ahmad Jauhari turut menolak spekulasi bahawa juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah ditukar pada saat-saat akhir untuk menerbangkan MH370 pada 8 Mac.

"Beliau memang dijadualkan (untuk MH370)," katanya.


Mengenai kargo, Ahmad Jauhari berkata selain bagasi, pesawat turut membawa antara tiga dan empat tan buah manggis.

Beliau juga berkata tiada bukti penumpang penerbangan MH370 membuat panggilan telefon atau menghantar mesej teks selepas pesawat itu hilang.

"Kami masih menyiasat. Ada sejuta rekod yang perlu kami proses. Ini masih dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan," kata Ahmad Jauhari.

Sumber

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...