Satu sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu stesen penyiaran CNN kelmarin, log daripada radar tentera menunjukkan pesawat MH370 tersebut terbang rendah selepas melencongkan arah ketika berada di Lautan Hindi dan terus menuju ke Selat Melaka.
Kata sumber itu lagi, pada satu ketika pesawat itu didapati terbang serendah 3,657 meter sebelum hilang dari radar tentera.
Pihak berkuasa sebelum ini memberitahu bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan tetapi ramai penganalisis berkata, kemungkinan juruterbang gagal memberi isyarat kecemasan kerana kerosakan yang dialami pada pesawat.
"Selepas membuat lencongan, pesawat jenis Boeing 777-200 itu masuk ke laluan udara yang sibuk dan tindakan juruterbang terbang rendah adalah untuk menyelamatkan pesawat itu daripada bertembung dengan pesawat lain," kata sumber tersebut.
Maklumat terbaharu tersebut memberikan sedikit gambaran berhubung apa yang berlaku pada pesawat berkenaan tetapi ia masih gagal menjelaskan kenapa pesawat itu hilang atau lokasi ia berada.
Pakar juga masih berbelah bagi sama ada maklumat terbaharu itu merupakan petanda pesawat itu mengalami masalah mekanikal sehingga menyebabkan juruterbang terpaksa mengubah haluan.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika ia dalam penerbangan ke Beijing sebelum hilang semasa ia perlu menghubungi menara kawalan trafik udara di Vietnam. - Agensi
No comments:
Post a Comment