Pegangan Ekonomi Bumiputera Cecah 22%

Pegangan ekuiti Bumiputera dalam pasaran modal kini mencecah 22 peratus berbanding sasaran kerajaan 30 peratus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed

Katanya, peningkatan pegangan itu dicapai antaranya berikutan sumbangan melalui pengagihan unit saham khas Bumiputera melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

Bagi tahun lalu sahaja, beliau berkata, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas Bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera.

Namun, katanya kementerian akan mengkaji semula keberkesanan instrumen ini kerana walau pun sudah lama dilaksanakan, pegangan baru mencecah 22 peratus.

“Kita sedang melihat cara lebih berkesan untuk tingkatkan penyertaan Bumiputera di dalam syarikat-syarikat di Malaysia,” katanya kepada media di luar Sesi Taklimat Unit Agenda Peneraju Bumiputera (TERAJU) di Menara Usahawan di sini.

Turut hadir pada sesi taklimat itu adalah ketua pegawai eksekutif TERAJU, Husni Salleh dan wakil-wakil persatuan, dewan perniagaan, badan bukan kerajaan dan usahawan Bumiputera.

Ditanya bila jangkaan sasaran 30 peratus itu boleh dicapai, Menteri itu berkata TERAJU akan mencari instrumen yang lebih berkesan dan menetapkan tempoh sasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada awal bulan ini mengumumkan penubuhan TERAJU bagi menyelaraskan isu pembangunan ekonomi Bumiputera.

Mustapa berkata, selain meningkatkan pegangan ekuiti, TERAJU turut ditugaskan untuk melihat kaedah bagi meningkatkan bilangan professional Bumiputera dan tenaga mahir di dalam syarikat awam.

“Kaedah yang berkesan turut dicari bagi meningkatkan pemilikan Bumiputera di dalam hartanah di bandar-bandar besar,” katanya. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...