Pentadbiran Pakatan Pembangkang Di P. Pinang "Tiga Tahun Yang Mengecewakan"


NIBONG TEBAL: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman menyifatkan pentadbiran pakatan pembangkang di Pulau Pinang sebagai "tiga tahun yang mengecewakan".

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang yang memerintah negeri ini sejak tahun 2008 nyata gagal mengotakan janji-janji yang dibuat kepada rakyat pada pilihan raya umum lepas.

"DAP lebih kepada retorik, terbawa-bawa dengan sikap sebagai pembangkang dan tidak menumpukan kepada pentadbiran negeri," katanya kepada pemberita selepas Perasmian Serentak Mesyuarat Umno cawangan bagi pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, Parlimen Nibong Tebal di sini, Sabtu.

Zainal Abidin, yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal, diminta mengulas mengenai menjelang tiga tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Pulau Pinang, 8 Mac ini.

Katanya kerajaan negeri gagal membawa pembangunan kepada rakyat Pulau Pinang dan kebanyakan pembangunan yang ada adalah hasil usaha kerajaan terdahulu.

"Dari segi pelaburan juga, kebanyakannya adalah usaha kerajaan pusat. Ada juga yang dibawa oleh kerajaan negeri sekarang tetapi jumlahnya sangat sedikit," katanya.

Zainal Abidin berkata kerajaan negeri sepatutnya menumpukan perhatian dalam menyelesaikan masalah rakyat bukannya mengharapkan kerajaan persekutuan untukmenyelesaikan masalah di Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...