Kisah Penyelewengan Ketua Cabang PKR

Calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jerai yang tewas baru-baru ini, Sahidan Zakaria, semalam mendedahkan beberapa penyelewengan dan salah guna kuasa yang didakwa dilakukan oleh Penyelaras Cabang Jerai, V Arumugam yang juga sekarang Ketua PKR Cabang Jerai.

Sahidan yang juga Ahli Majlis Daerah Yan, berkata, terdapat penyelewengan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun berjumlah RM100,000 serta salah guna kuasa dalam pelantikan Ahli Majlis Daerah Yan.

Menurutnya, pelantikan Ahli Majlis Daerah Yan tidak dibuat mengikut keputusan parti dan bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu pelantikan ahli majlis dalam kalangan penduduk tempatan (bermastautin).

“Penyelaras DUN melantik individu luar kawasan atau daerah pihak berkuasa tempatan (PBT), malah pada 2008 seorang ahli majlis dipecat atas alasan tidak tinggal dalam daerah sebelum melantik ahli baru yang hakikatnya juga tinggal di luar kawasan PBT.

“Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku, adakah ada pihak yang bertanggungjawab terlepas pandang mengenainya atau sengaja membutakan mata mereka,” katanya kepada media semalam.

Sahidan berkata, terdapat juga salah guna kuasa terhadap pelantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) apabila dibuat di luar mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) Cabang Jerai.

“Kuota yang diperuntukkan kepada PKR ada 15 namun pecahan pelantikan adalah 13 India, Melayu (1) dan Cina (1).

“PKR terdiri daripada pelbagai kaum dan tindakan yang mereka buat dalam pelantikan MKK seolah-olah memihak kepada satu kaum sahaja,” katanya.

Menurutnya, satu lagi penyelewengan yang dikesan ialah melibatkan peruntukan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Hasil pemantauan yang dibuat, terdapat beberapa peruntukan yang tidak dilaksanakan seperti diarahkan. Antaranya ialah peruntukan lapan set khemah kerana difahamkan lima set diberikan kepada PKR dan tiga untuk Pas.

“Terdapat juga kemusykilan mengenai peruntukan peralatan pejabat dan sukan yang diluluskan sedangkan peruntukan itu sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Sahidan berkata, satu laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat agar pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai perkara yang dibangkitkan itu

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...