Belum puasa sudah beraya!

Di Kuala Lumpur jemputan untuk berbuka puasa telah diterima seawal seminggu sebelum tarikh melihat anak bulan. Anak bulan masih dalam perut ibunya, orang sudah berebut-rebut untuk berbuka puasa.

Seorang Tan Sri menjemput saya dan isteri untuk berbuka puasa di kediaman beliau di Jalan U Thant, satu kawasan perumahan mewah di pinggir bandar, pada 18 Ogos, Khamis malam Jumaat.

Undangan juga diterima daripada beberapa syarikat besar. Turut awal mengundang berbuka puasa ialah beberapa kementerian, yang dihantar oleh Bahagian Perhubungan Awam menerusi faks atau e-mel, dengan pesanan: “Masukkan undangan ini dalam diari tuan!”

Demikianlah, orang KL berebut-rebut menjemput berbuka puasa, walaupun anak bulan Ramadan masih belum kelihatan. Apakah ini tanda kemewahan? Atau, pertanda awal pembaziran?

* LEBIH menarik lagi ialah tawaran-tawaran hari raya yang mendahului waktu. Permulaan puasa belum ditetapkan – Syawal masih jauh! – kempen membeli belah Aidilfitri telah bermula.

Kotak pos di rumah diasak beraneka risalah dari pasar raya dan pusat beli-belah, menawarkan berbagai potongan harga pembelian menyambut hari besar itu.

Sama ada anda hendak membeli keperluan membuat kuih-muih, kain langsir, perkakas rumah, hatta perkhidmatan mencuci permaidani atau mengecat rumah, semuanya ditawarkan pada harga istimewa. Hubungi sahaja nombor telefon disertakan, semuanya tanggung beres.

Seminggu sebelum puasa, iklan-iklan jualan istimewa hari raya juga sudah mula disiarkan baik menerusi akhbar atau radio dan TV. Tawaran potongan harga hingga 80 peratus .

Pusat-pusat beli-belah sudah menggantung replika ketupat warna kuning dan hijau, dan lemang di premis masing-masing. Malah, hotel-hotel besar mengiklankan tawaran mengadakan rumah terbuka, sama hebat dengan juadah berbuka.

Pendek kata Ramadan dan Aidilfitri diiklankan seolah-olah ingin menimbulkan persepsi bahawa puasa dan raya ada acara makan-makan dan berbelanja besar untuk umat Islam.

Mengapa tidak ada iklan atau risalah yang mengajak umat Islam mengimarahkan masjid dan surau pada bulan al-Mubarak ini? Mengapa yang ditonjolkan hanya makanan dan bermewah-mewah, tetapi tidak ada kempen besar-besaran meningkatkan ibadat pada bulan besar itu?

Atau, apakah orang kita memang megahkan makanan dan kemewahan kebendaan, berbanding meningkatkan ibadah?

* SEPERTI biasa kita akan mendengar lagu-lagu lama setiap kali menjelang raya. Pihak berkuasa agama meminta hotel-hotel memohon sijil dan logo ‘halal’ sekiranya hendak menawarkan pakej buka puasa.

Banyak hotel, termasuk berstatus lima bintang, tidak mengendahkan arahan Jakim supaya mendapatkan logo dan sijil penting itu. Bagi mereka tidak ada tanda halal pun orang penuh juga makan di situ.

Sebenarnya soal halal atau tidak bukan masalah pihak berkuasa agama, tetapi masalah pengguna. Kalau pelanggan sendiri tidak mengendahkan hukum agama, siapa pun tidak boleh membantu.

Bayangkan setelah letih dan dahaga berpuasa sepanjang hari, kita berbuka di hotel yang tidak disahkan halal. Tidak payah ditanya apa hukumnya berpuasa dengan berbuka juadah tidak halal. Fikir sendiri!

Setiap kali raya kita kurang bekalan daging dan ayam. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi jaminan bekalan mencukupi.

Katanya, negara dijangka memerlukan tambahan 340,000 ekor sehari bagi menampung keperluan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini. “Kita akan pastikan bekalan mencukupi, harga tidak naik,” katanya. Mudah-mudahan apa yang dikata, akan dikota!

* AKHIR kalam, walaupun dengan sokongan dan semangat berkobar beribu penonton, Harimau gagal menewaskan Singa di Bukit Jalil, Khamis lalu. Maka pasukan bola sepak negara pun tersingkir untuk pusingan awal Piala Dunia.

Kita terus dilanda kemarau dan terpaksa menunggu untuk kelayakan perlawanan paling berprestij itu yang akan diadakan di Rusia 2018. Ada tujuh tahun lagi untuk Harimau kita menajamkan taring, dan menguatkan ngauman!-sh-

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...