Penekanan dua T perlu dipraktikkan Umno iaitu Tazkiyah dan Tarbiah untuk berhadapan pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.
Ia ditekankan perwakilan Umno Perlis, Fathul Bari Mat Jahaya yang berpandangan, tazkiyah iaitu proses penyucian perlu dilakukan seluruh lapisan parti.
“Apabila bercakap dengan penyucian banyak yang perlu dilakukan sama ada dalaman parti, rakyat yang berada di luar parti, barisan pimpinan yang diketuai presiden parti.
“Perlu wujud usaha penyucian pada peringkat dalaman dan sikap,” katanya ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung Umno 2011 semalam.
Jelasnya, penyucian itu penting kerana akhirnya manusia akan bersikap al -Wahn iaitu cintakan dunia dan takut mati.
“Manusia akan cintakan dunia, harta benda, kedudukan, pangkat dan kemuliaan melebihi akhirat. Jadi perlunya penyucian dilakukan di peringkat awal,” katanya.
Tegasnya, proses penyucian juga perlu seiring dengan pengisian dengan memperbanyakkan lagi program berbentuk ilmu pengetahuan iaitu tarbiah.
“Selain penyucian, pengisian perlu ada dengan memberi penekanan terhadap program ilmu, katanya.
Beliau yang juga Ulama Muda Umno turut menasihatkan ilmuan agama supaya "jangan mengamuk dalam masjid, atas mimbar dan pentas ceramah" untuk menasihat pemimpin negara.
Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya ruang dibuka dengan menjemput orang agama untuk memberi pandangan berhubung perkara tersebut, setiap tiga bulan.
“Saya bersyukur apabila saya menyertai Umno, saya diberi ruang sebebasnya untuk bercakap tentang Islam. Tidak pernah ada sekatan bercakap tentang Islam.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan setiap tiga bulan, buka ruang jemput orang agama beri pandangan. Jangan mengamuk dalam masjid, atas mimbar dan pentas ceramah. Kalau nak nasihat pemimpin, inilah tempatnya,” katanya.
Katanya, dalam perlembagaan Umno menyatakan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.
“Tetapi apabila kita bercakap mengenai bangsa dan negara, kita bersemangat, tapi soal agama di mana orang agama?” katanya.
Beliau mendedahkan antara alasan popular ilmuan agama kurang menyertai Umno kerana tiada saluran untuk menyampaikan pandangan mereka.
“Itu adalah realiti. Mungkin boleh menyalurkan pandangan di media baru, laman sosial facebook, blog atau twitter. Tetapi sejauh mana jawapannya dapat diberikan,” katanya.
Dalam pada itu juga, Fathul Bari juga mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi agar menghimpunkan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.
“Sebelum pelajar ke Timur Tengah, sama ada Mesir, Arab Saudi, transitkan mereka sebulan, dua bulan atau tiga bulan, dikumpulkan untuk diberikan pentarbiyahan dasar kerajaan bahawa kita mengambil berat pelajar di luar negeri.
“Kita cerita, mereka tidak pernah dianaktiri oleh pemerintah, cerita kebaikan kita,” katanya.-SH
No comments:
Post a Comment