Shahrizat bukan ‘biawak hidup’ - Syed Ali Alhabshee

Ketua Umno Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee menjelaskan maksud kenyataan “memikul biawak hidup” ditujukan ke atas Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang kini menjadi pertikaian umum, bukannya merujuk kepada anggota Kabinet dari parti itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut Syed Ali, kenyataan beliau kelmarin berkaitan isu NFC yang mana jika tidak diselesaikan maka selagi itulah rakyat akan menunding jari kepada kerajaan kononnya melindungi Shahrizat (gambar) yang mana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah Pengerusi Eksekutif NFC.

Projek NFC, yang menggunakan dana awam RM250 juta, dikendalikan oleh keluarga Shahrizat.

“Maka, sudah tentulah pada anggapan saya rakyat akan menyalahkan Perdana Menteri dan timbalannya kerana memikul isu NFC seperti memikul biawak hidup. Bukannya peribadi Shahrizat,” kata beliau dalam kenyataan disiarkan menerusi blognya.

Kenyataan keras Syed Ali sebelum ini didakwa dituju ke atas Mohamad Salleh supaya memberikan penjelasan secara jelas dan terperinci berhubung isu tersebut supaya tidak menjadi beban kepada Umno dan kerajaan pada pilihan raya umum ke-13 sepertimana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

“Saya bercakap berkisar tentang isu NFC yang kini menjadi bualan rakyat, malah pihak pembangkang juga menuduh pelbagai penyelewengan berlaku dan menyalahkan kerajaan, bukannya saya tujukan kepada Shahrizat secara peribadi,” tegasnya.

Sebelum ini kata Syed Ali, beliau bersama beberapa pemimpin Umno telah menegur Shahrizat berhubung isu NFC dan mendesak beliau melepaskan jawatan dalam Kabinet tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya umum 2008, merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Ini bermakna saya menghormati Shahrizat sebagai wanita dan pemimpin sayap kanan parti tetapi beliau harus mengakui bahawa isu NFC ini menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang menteri Kabinet,” jelasnya.

Beliau juga berkata, penjelasan Mohamad Salleh mungkin boleh membersihkan imej Shahrizat yang turut terpalit dalam isu tersebut.

Semalam, sekitar 80 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan “membanjiri” pejabat Syed Ali di Jalan Peel di sini berkaitan kenyataan beliau yang mengumpamakan Shahrizat dan keluarganya “biawak hidup”.

Antara mereka hadir ialah wakil Persatuan Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, National Women Entrepreneurs of Malaysia (Nawem) dan Kelab Sahabat Kebajikan Nusantara.

Pertubuhan-pertubuhan berkenaan mendakwa Syed Ali tidak menghormati status wanita.

“Saya adalah orang yang paling menghormati kaum wanita, sebab emak saya adalah wanita, malah wanita merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia,” tegasnya.

“Saya ingin jelaskan ini kerana ada yang tersinggung dengan kenyataan saya, tetapi niat saya hanya ingin mempertahankan institusi Umno, bukannya kepentingan peribadi individu tertentu,” tegasnya.

“Individu tidak penting pada saya, parti dan kerajaan yang lebih penting,” ujarnya.-MInsider

2 comments:

Kutukandewata said...

Salam tuan,

Dari segi undang-undang Sharizat langsung tidak bersalah dan memang bersih.

Dari segi moral dan intergriti Shahrizat telah tercalar.

Politik lebih berat kepada persepsi bukan realiti.

UMNO menanggung beban yang berat akibat persepsi.

NFC menjadi tomahawk pembangkang.

Shahrizat perlu berkorban demi parti.

Undur selangkah,mengatur tingkah untuk melonjak 10 langkah tidak salah kan!!!!!

Brader Vo said...

Antara Calon Winnable dan Wannabe

Ketika berakhirnya PRU-12 lalu.

Bagi calon yang gagal,
Ada yang merayu kepada bekas majikan
Ada yang kena bertukar pekerjaan
Ada yang mulakan perniagaan
Ada yang sudah hilang pelanggan
Ada yang kembali mencari rakan
Ada yang kena bina semula handai dan taulan
Ada juga yang bertukar jiran

Bagi Adun yang terpilih,
Ada yang serik berpolitik parti
Ada yang puas berkhidmat kepada pengundi
Ada yang gelisah takut tak dipilih lagi
Ada yang resah takut hilang kerusi

Bagi Menteri & Exco yang berkhidmat,
Ada yang bakal hilang nikmat
Ada yang kena pulangkan tongkat hikmat
Ada yang dah mula berjimat cermat
Ada yang dok berkira takut tak lekat
Ada yang dok fikir mana nak melompat

Wahai Presiden,
Apakah kriterianya ‘Winnable Candidate’
Jangan pulak baru nak ‘create’
Calonnya mesti bukan ‘over-rate’
Kita tak mau calon ‘desperate’

Wahai Pengundi,
Siapa pula calon di hati
Waktu mengundi mesti berhati-hati
Harap-harap calon tak mati
Atau dapat si kayu mati

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...