Raja Petra Kamarudin menegaskan kritikannya ke atas kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) baru-baru ini bukan perkara baru walaupun ada yang mendakwa beliau telah membuat pusingan 'U' seolah-olah sudah tidak lagi memihak kepada matlamat perjuangan perikatan empat tahun itu.
Tegas pengendali blog Malaysia Today ini, ada yang mendakwa beliau seolah-olah kelihatan sudah membuat pusingan 'U' hanya kerana kini "lebih kritikal terhadap pembangkang" khususnya PKR dan kepimpinannya termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu katanya, sekarang merupakan masa yang sesuai bagi beliau meluahkan pendirian sedemikian, bukannya menunggu sehingga berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13, yang sangat diharapkan oleh PR untuk menggantikan Barisan Nasional di peringkat pusat.
Raja Petra melahirkan pendirian terbaru ini menjawab kritikan dan kecaman beberapa pihak ekoran wawancara beliau bersama tiga akhbar arus perdana, Ahad lalu.
Bagaimanapun pandangan beliau itu berhadapan dengan kecaman banyak pihak khususnya pengikut dan penyokong setia Anwar.
"Mereka juga hendak tahu mengapa saya memilih untuk bercakap dengan media arus perdana (milik parti pemerintah) berbanding media (pro) pembangkang. Dan, mengapa pula sekarang? Mereka bertanya. Mengapa tidak kemudian, selepas pilihan raya?
"Mengapa tidak sekarang? Jika bukan sekarang, maka bila? Anda mahu saya menunggu sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Barisan Nasioanl menang satu lagi mandat lima tahun untuk memerintah negara ini?" kata beliau dalam entri terbaru blognya hari ini.
"Bukankah sudah terlalu lewat (jika memberi kenyataan keras kemudian)," katanya sambil menambah, beliau sebenarnya telah mengkritik barisan pembangkang sejak 10 tahun lalu, bukan Anwar seorang sahaja.
"Sejak lebih 10 tahun saya mengkritik pembangkang khususnya PKR, meskipun DAP dan Pas tidak terkecuali.
"Saya juga mengkritik ramai pemimpin pembangkang, bukan sahaja Anwar Ibrahim," katanya lagi.
Dalam wawancaranya yang disiarkan Ahad lalu, Raja Petra membuat kejutan dengan mengkritik Anwar, Ketua Pembangkang, sebagai bukan lagi pilihan rakyat Malaysia, antaranya kerana mempunyai isu moral.
Raja Petra dilaporkan berkata, Ketua Umum PKR itu juga tidak mampu menjadi penasihat ekonomi Selangor, apatah lagi untuk mentadbir negara.
Antara lain, Raja Petra mendakwa Anwar berbohong apabila menyatakan tidak mengenali ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl Abdullah yang terlibat mempertontonkan video seks pelakunya kelihatan seperti Anwar.
Raja Petra berkata, hanya PKR memerlukan Anwar sedangkan DAP dan Pas tidak akan mengharapkan pemimpin itu lagi sekiranya pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
"Soalnya, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. Anda tak boleh jadi pemimpin dan gay sekali gus. Di Australia, anda boleh.
"Di Malaysia, anda kena pilihlah. Kalau nak jadi perdana menteri dan gay sekali gus, sudah tentu di Malaysia tak boleh," kata Raja Petra lagi.
Dalam ulasannya baru-baru ini, Anwar mengetepikan kritikan terhadapnya oleh Raja Petra. Sebaliknya, Anwar mempersoalkan masa kenyataan itu dibuat, yang didakwa menjelang pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi.
“Saya selalu tidak komen serangan begini... sama ada ada pilihan raya negeri Sarawak atau pilihan raya 2008 akan muncul orang dengan alasan mereka.
“Saya berkawan dengan dia dah lama. Tak pernah pula dia sebut ini pertama kali saya dengar," kata Anwar yang mendedahkan beliau sudah lebih enam bulan tidak berhubung dengan Raja Petra.
Kata Raja Petra, blog-blog, portal berita dan laman web propembangkang menggambarkan satu senario kononnya beliau membuat kecaman dan kritikan secara tiba-tiba, "seolah-olah pada masa lalu saya tidak pernah mengatakan apa yang saya katakan pada hari tahun baru (yang lalu)."
"Saya mengatakan apa yang telah dikatakan baru-baru ini lebih 10 tahun. Saya mengatakan perkara ini menerusi laman web Free Anwar Campaign, organ parti Pas Harakah dan juga organ PKR Berita Keadilan.
"Saya tidak pernah menukar irama saya. Saya masih mendendangkan irama lama yang sudah penat. Hanya kali ini saya berkata kepada New Straits Times dan di mana akhbar-akhbar arus perdana yang lain petik," katanya lagi.
"Saya fikir isunya masih saya," kata Raja Petra yang berada di luar sejak 2009.
Kata beliau, isunya sekarang ialah beliau hanya wajar bercakap dengan media dan blog propembangkang, dan bukannya kepada media kerajaan.
Bagaimanapun tegas Raja Petra, selama 10 tahun beliau telah menyerit dalam media dan blog propembangkang.
"(Tetapi) adakah apa-apa dilakukan berhubung apa yang telah saya bangkitkan?" katanya yang terkilan dengan tiada perubahan yang diharapkan selama ini.
Sebaliknya jelas beliau, sebaik sahaja beliau bercakap dengan media kerajaan, "gempa bumi tercetus."-SH
No comments:
Post a Comment