Khalid Aniaya Orang Bantura!

Ramai penduduk Bandar Tun Razak mempunyai alasan kukuh merasa kecewa dan marah dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mereka anggap gagal sebagai Anggota Parlimen mereka.

"Mana saya tak marah. Isu rakyat di sini banyak lagi yang tak selesai seperti isu penjaja, isu perumahan dan kemudahan lain. Kalau macam inilah gaya kerja wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat, memang takkan mampu parti ini nak tadbir negara.

"Ini baru satu kawasan Parlimen, belum negara lagi. Kalau negara, saya rasa hancurlah agaknya," kata penduduk Nordin Che Wan, 65.

Katanya penduduk di situ memilih Khalid dengan harapan beliau dan PKR dapat membawa kemajuan dan pembangunan yang lebih pesat ke Bandar Tun Razak, namun ternyata harapan itu meleset.

Kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional, terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008 apabila Khalid menewaskan Datuk Tan Chai Ho daripada MCA dengan majoriti 2,515 undi.

Nordin, seorang pesara Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata sepanjang pengetahuannya, Abdul Khalid pernah datang dan berjanji untuk membina semula kedudukan perumahan di Bandar tun Razak, dengan membawa model rumah contoh.

"Dia beri penerangan kononnya penduduk Bandar Tun Razak akan dapat duduk dalam rumah yang agak mewah berbentuk 'townhouse'. Dia janji lepas tiga bulan akan datang semula untuk beritahu kemajuan yang dicapai," katanya.Namun, menurut Nordin, beliau dan penduduk lain sudah lebih setahun menunggu janji itu tetapi sehingga kini Abdul Khalid tidak muncul seperti dijanjikan.

Seorang lagi penduduk, Md Shah Abdul Ghani, 65, berkata selama hampir sepenggal Abdul Khalid mewakili kawasan itu, belum ada apa-apa pembaharuan yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor itu.
Ketika wakil rakyat BN baik di peringkat negeri atau Parlimen lain kini rancak membantu menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing, Bandar Tun Razak masih berdepan masalah seperti ketiadaan kawasan gerai makanan yang teratur atau setempat dan tiada kawasan pertumbuhan baru yang terancang.
"Ahli Parlimen PKR ini, jumpa kita pun tidak, apatah lagi nak bertanya khabar dan berusaha selesaikan masalah masyarakat di Bandar Tun Razak ini.

"Dia hanya datang bila dijemput kelompok dia, sedangkan ini kawasan dia dan kami pun pengundi dalam kawasan dia, tak perlulah nak jemput berjemput," kata Md Shah, seorang pesara DBKL.
Beliau berharap BN memenangi semula kawasan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ustazah Rajaah Abdul Hamid, 65, pula berkata seingat beliau yang telah menetap di Bandar Tun Razak selama 33 tahun, penduduk di situ hanya mendapat pembelaan sepenuhnya ketika diwakili oleh BN.
"Dengan Ahli Parlimen PKR, tak pernah dapat apa-apa, malah saya tak kenal pun dia sebab tak pernah berjumpa. Kalau Tan Sri Khalid datang pun ke Bandar Tun Razak, mungkin dia hanya datang di kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Wakil belia, Mohd Hisham Hamidi, 40, pula berkata kebanyakan program bagi golongan muda di kawasan itu dianjurkan oleh Pemuda Umno Bandar Tun Razak, yang juga menjadi tempat bagi mereka mengadu hal.
"Pembangunan belia di Bandar Tun Razak bukan bermula tahun-tahun terdekat ini tetapi sebenarnya telah lama diusahakan oleh BN menerusi pembinaan kompleks sukan seperti di Bukit Jalil, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Pusat Belia Antarabangsa," katanya.

Beliau menganggap belia di Bandar Tun Razak sekarang sebagai golongan malang kerana potensi mereka diabaikan walaupun berada dalam kawasan yang wakil rakyatnya bukan calang-calang orang tetapi seorang Menteri Besar.

Kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang meliputi keluasan 3,832 kilometer persegi, mempunyai 84,000 orang pengundi terdiri 52.73 peratus Melayu, 39.47 peratus Cina, 7.17 peratus India dan 0.61 bangsa-bangsa lain.-AD

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...