Presiden pertubuhan bukan kerajaan Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali
memfailkan saman terhadap Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad kerana memfitnahnya.
Kedua-dua saman itu difailkan masing-masing di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur dan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 April lepas menerusi firma
guaman Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.
Hassan berkata saman terhadap mereka dibuat berikutan fitnah yang
dilemparkan terhadapnya kononnya segala aktiviti dan 'roadshow' JATI
mendapat dana daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM30
juta serta tajaan syarikat-syarikat tertentu.
"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua ahli Parlimen Pokok
Sena (Mahfuz) dan Shah Alam (Khalid) adalah berniat jahat, tidak berasas
dan ditimbulkan sebagai sesuatu yang dirancang bagi memburukkan nama
baik saya, JATI yang saya tubuhkan dan sekaligus cuba untuk merosakkan
karier politik saya.
"Barisan peguam saya mendapati saya mempunyai kes yang cukup kuat untuk
membawa kedua-dua ahli Parlimen tersebut ke mahkamah," katanya dalam
sidang media di kediamannya, di sini hari ini.
Bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor
itu berkata keputusan untuk membawa kes itu ke mahkamah bertujuan
membersihkan nama baiknya dan pertubuhan yang dipimpinnya.
Hasan juga berhasrat untuk menjadikan kes itu sebagai pengajaran kepada
kedua-dua pemimpin politik itu yang disifatkannya sebagai celupar dan
sering mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa.
Mahfuz sebelum ini dalam laman portal pembangkang mendakwa terdapat
unit di bawah KBS telah menyumbang sebanyak RM30 juta bagi menaja siri
ceramah Hasan di seluruh negara bagi menarik golongan muda memihak
kepada kerajaan.
Khalid pula mendakwa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga Bhd sebagai penaja kepada Hasan dan juga JATI.
Sementara itu, peguam Hasan yang turut hadir dalam sidang media itu,
Hasnal Rezua Merican berkata dalam saman itu, pihaknya memohon ganti
rugi am, teruk, teladan serta injunksi bagi menghalang kedua-dua anggota
Parlimen itu mengulangi dakwaan yang dibuat sebelum ini. Tiada jumlah
saman dinyatakan.
Katanya writ saman telahpun diserahkan kepada Khalid manakala writ
saman kepada Mahfuz masih belum dapat diserahkan kepadanya secara
peribadi dan dihantar menerusi mahkamah ke alamat kediaman beliau.-
Bernama
No comments:
Post a Comment