Sampul Angpau Terbaik Dari Ah Jib Gor!

Sempena ulang tahun pertama pelancaran laman Facebook "Ah Jib Gor" serta sambutan Tahun Baru Cina pada 10 Feb ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengedarkan sampul angpau khas secara percuma untuk para peminatnya bermula hari ini.

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju Melayu hijau serta beberapa karakter kartun berbaju tradisional yang dicetak perkataan "Selamat Tahun Baru Cina".

Najib menerusi laman itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat-peminat yang memberikan sokongan kepada beliau selama ini dengan memberi cadangan serta mengutarakan idea bernas dalam bahasa Mandarin menerusi laman itu.

"Walaupun saya tidak dapat memberi maklum balas kepada setiap cadangan itu tetapi sudah cukup untuk saya memahami akan suara-suara masyarakat Cina di Malaysia," katanya dalam laman peminat berbahasa Mandarin itu.

"Sampul angpau ini melambangkan perpaduan serta semangat bersatu-padu di kalangan semua rakyat Malaysia, diharapkan agar semua masyarakat pelbagai kaum dapat mengekalkan semangat ini serta meneruskan sokongan terhadap kami," katanya.

Menurut laman web facebook "Ah Jib Gor", peminat-peminat hanya perlu "Like" pada laman itu dan menghantarkan alamat rumah serta nama penuh masing-masing ke alamat e-mel ahjibgor@gmail.com dan menyatakan bilangan paket angpau yang diingini.Setiap paket mengandungi lima keping sampul angpau dan setiap peminat hanya boleh mendapatkan dua hingga lima paket sahaja sementara stok masih ada, menurut laman web itu.

 "Ah Jib Gor" merupakan facebook baru Perdana Menteri dalam bahasa Mandarin, mula beroperasi sejak 16 Januari 2012 sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

"Ah Jib Gor" yang bermaksud "Abang Najib" dalam bahasa Mandarin, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial berbahasa Mandarin untuk mengenali Perdana Menteri sebagai insan biasa dan bukannya sebagai perdana menteri semata-mata. - Bernama

Published with Blogger-droid v2.0.8

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...