Penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak berperlembagaan)


KENYATAAN AKHBAR PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Berkaitan Penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak berperlembagaan)

Bertarikh: 8 November 2014

Kepada semua media
Untuk Siaran Segera

PPMM berasa amat terkejut dengan keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak berperlembagaan kerana mendiskriminasi golongan minoriti. Keputusan tersebut dibuat setelah tiga orang lelaki Islam merayu kepada Mahkamah Rayuan apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka mengisytiharkan sekyen tersebut tidak berperlembagaan. Ketiga-tiga lelaki Islam berkenaan telah dituduh di Mahkamah Syariah Negeri Sembilan di bawah seksyen 66 tersebut kerana memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam.

Seksyen tersebut berbunyi seperti berikut:

“Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

Sehingga siaran akhbar ini ditulis PPMM masih lagi belum mendapat salinan penghakiman yang diputuskan pada 7 November 2014 itu. PPMM juga tidak mendapat makluman berkaitan dengan hujahan-hujahan yang telah dikemukakan oleh kedua belah pihak semasa prosiding rayuan berjalan. Pada kebiasaan hakim-hakim akan membuat keputusan berdasarkan persoalan yang dihujahkan di hadapan mahkamah.

Oleh yang demikian siaran akhbar ini dibuat berdasarkan laporan-laporan yang dibuat di akhbar-akhbar dan media alternatif sahaja dan menyentuh aspek keabsahan dan kesan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan tersebut.

Di dalam kes Sulaiman Takrib v Majlis Agama Islam Trengganu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa legislatif untuk membuat apa-apa kesalahan dan hukuman yang melanggar perintah agama Islam. Perintah agama Islam termasuklah juga isu-isu berkaitan akhlak atau moral bagi orang Islam seperti di dalam Seksyen 66 tersebut. Di dalam kes tersebut Mahkamah Persekutuan memutuskan makna ‘precepts of Islam’ bukan sekadar rukun Islam tetapi apa-apa perintah agama Islam. Menjaga akhlak adalah sebahagian dari perintah agama Islam dan lelaki berpakaian wanita adalah diharamkan di dalam Islam.

Manakala di dalam kes Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur v Menteri Dalam Negeri dan 8 yang lain pula, Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain kebenaran dari Mahkamah Persekutuan perlu diperolehi terlebih dahulu di dalam sesuatu prosiding yang mencabar keperlembagaan sesuatu undang-undang. 

Berdasarkan dua penghakiman Mahkamah Persekutuan di atas, PPMM berpandangan Mahkamah Rayuan telah khilaf di dalam penghakiman semalam. Malah ia juga tidak sejajar dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 3 yang meletakkan Islam bukan sekadar agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan seperti yang diputuskan di dalam kes-kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persecution (Mahkamah Persekutuan) dan Meor Atiqurrahman melawan Fatimah Sihi (Mahkamah Tinggi). Begitu juga obligasi berperlembagaan Yang Di Pertuan Agong di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA bersumpah memelihara Islam pada setiap masa. Sebagai Ketua Eksekutif sebenar Negara (Perkara 39) sumpah YDPA tersebut menjadi suatu obligasi kepada semua cabang pentadbiran dan kehakiman negara untuk dipenuhi.

Isu diskriminasi kepada golongan minoriti tidak seharusnya timbul kerana kebebasan fundamental (fundamental liberties) seperti yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu yang tiada batasannya. Hak tersebut tidak bersifat mutlak dan ia perlu dibaca bersama-sama dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang lain. Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca secara bersesama bukan diasing-asingkan antara satu sama lain (harmonious interpretation). Mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara berasingan akan hanya membawa implikasi percanggahan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sesama sendiri.

Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut juga gagal mengambilkira norma masyarakat Melayu Islam (grundnorm of the society) yang merupakan teras kepada jatidiri kebangsaan. Islam dan Melayu merupakan sebahagian daripada struktur asas (basic structures) yang membentuk Perlembagaan Persekutuan. Memusnahkan strucktur asas ini akan mengakibatkan jatidiri dan kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri terpecah.

Walau apapun penghakiman semalam adalah penghakiman yang sah oleh sebuah mahkamah yang kompeten. Ia perlu dihormati sehingga ada keputusan sebaliknya.

PPMM menyeru Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak-pihak yang dinamakan di dalam prosiding tersebut memohon kebenaran merayu dalam tempoh yang ditetapkan. PPMM juga mendesak sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan Kerajaan Negeri Sembilan memohon penggantungan perintah yang dikeluarkan itu. PPMM juga menyeru Kerajaan Persekutuan yang merupakan “amicus curae” di dalam prosiding tersebut bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan di dalam rayuan tersebut.

PPMM selanjutnya menyeru semua Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAINS) di seluruh Malaysia supaya memohon kebenaran mencelah di dalam prosiding rayuan kelak. Ini adalah disebabkan Majlis-Majlis Agama Islam adalah penasihat utama dalam hal ehwal agama Islam kepada Sultan/ Raja/ Yamtuan negeri masing-masing dan YDPA bagi negeri yang tidak mempunyai Raja. Keputusan ini juga memberi kesan kepada undang-undang yang sama yang ada di negeri-negeri lain. MAINS mempunyai kepentingan undang-undang yang jelas di dalam prosiding ini kerana ia juga akan memberi kesan kepada undang-undang di negeri berkenaan.

PPMM bersedia memberi taklimat, khidmat dan pandangan kepada MAINS khasnya dan semua Majlis Agama Islam amnya dalam perkara ini. 

PPMM juga menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia supaya bertenang bagi membolehkan proses undang-undang berjalan sewajarnya.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

5 comments:

SolitaireHunter said...

Tak perlu marah.... ini sebahagian dari sokongan kepada polisi LIBERAlisasi Najib!

Anonymous said...

Jgn sampai senegara terlaknat.

Anonymous said...

Hakim terikat kepada perlembagaan.Apa2 keputusan mereka mesti menurut perlembagaan.Untuk hakim membuat keputusan sebaliknya,kerajaan hendaklah meminda perlembagaan,tapi sayang kerajaan tidak ada 2/3 majoriti untuk berbuat demikian.

Anonymous said...

Bila ada konflik dgn agama sendiri, mengapa tak tarik diri aje atau declare luar bidang kuasa ?

Anonymous said...

Itulah sebabnya dulu Pas berjuang utk tolak perlembagaan sekular,Hj Hadi pun sampai keluar 'ftwa' kafir kalau pakai undngan-undang sekular.Tapi malangnya sekarang Pas pun dah tunduk pada undang-undang sekular,malah ada pemimpin nya yg lebehi sekular dari pihak yg dulu di tuduh sekular.

Saya khuatir pada masa depan negara dan bangsa kita.Kita tak takut musuh mnyerang,tapi kita taku bala Allah mendatang.Nauzubillah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...