Kabinet Akan Dirombak

Bayangan terhadap rombakan kabinet Indonesia semakin jelas kelihatan selepas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti politik yang menganggotai Sekretariat Gabungan kepimpinannya di sini semalam.

Pemerhati politik dan akhbar-akhbar utama Indonesia meramalkan Susilo akan merombak kabinetnya pada bila-bila masa saja pada bulan ini.

Semalam, beliau bertemu dengan pemimpin parti-parti politik yang bergabung dengannya dalam kerajaan kecuali Parti Golongan Karyawan (Golkar) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang dilihat seperti menentang kerajaan.

Pada pertemuan tertutup selama lebih dua jam di Wisma Negara semalam, Susilo turut meminta pandangan daripada semua pemimpin parti politik yang bergabung dalam kepimpinannya berhubung semangat permuafakatan dalam Gabungan Sekretariat yang semakin longgar.

Pegawai khas politik Susilo, Daniel Sparringa berkata, seandainya berlaku rombakan kabinet, Presiden pastinya akan mengambil kira semangat permuafakatan parti-parti politik dalam gabungan kepimpinan serta kualiti anggota kabinet yang mengetuai sesebuah kementerian.

"Kesemua menteri yang mewakili sesebuah parti politik dalam gabungan sudah dimaklumkan mengenai situasi yang semakin kompleks agar mereka peka," kata Daniel seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post.

Rombakan kabinet Susilo juga dijangka diadakan bulan ini selepas Presiden Indonesia itu menerima surat jawapan daripada ketua-ketua parti politik mengenai komitmen mereka dalam gabungan yang diasaskan untuk mendukung aspirasi kepimpinan beliau dan Naib Presiden, Boediono.

"Saya juga tidak terkejut seandainya Susilo menyampaikan mesej yang penting dalam surat yang dikirim kepada ketua-ketua parti," kata Daniel lagi.

The Jakarta Post turut melaporkan, Presiden Susilo berhasrat untuk melucutkan keanggotaan PKS dalam gabungan itu dan jawatan menteri yang disandang wakil PKS akan ditawarkan kepada parti lain.

Ketika ini, PKS mempunyai empat jawatan dalam kabinet Susilo iaitu Kementerian Komunikasi dan Informasi, Kementerian Pertanian, Kementerian Kajian dan Teknologi serta Kementerian Sosial.

Selasa lalu, Presiden Indonesia itu menegaskan, parti-parti politik yang tidak mendukung aspirasi kepimpinan beliau dan Naib Presiden, Boediono boleh memilih untuk keluar daripada terus menganggotai Sekretariat Gabungan kepimpinan kerajaan.

Menjelaskan mengenai pertemuan tertutup itu, Pengerusi Parti Demokrat, Annas Urbaningrum mengesahkan, tidak semua pemimpin parti politik yang menganggotai gabungan kepimpinan Susilo menghadiri pertemuan yang membincangkan mengenai masa depan majlis permuafakatan itu.

Ketika ini, enam parti yang bergabung dalam Sekretariat Gabungan ialah parti Demokrat (pimpinan Susilo), Golkar, PKS, Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Keenam-enam parti berkenaan menguasai 423 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Golkar dan PKS sering tidak sependapat dengan anggota permuafakatan setiap kali keputusan dibuat di DPR. - Utusan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...