Di negara maju, sesebuah syarikat itu dianggap berjaya bukan saja kerana keuntungan besar. Ia turut membabitkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sama ada terhadap kakitangannya, alam sekitar, kebudayaan, pendidikan dan masyarakat.
Di Malaysia sumbangan syarikat yang menjalankan CSR diiktiraf kerajaan dan diberi anugerah. Pada 2010, syarikat seperti CIMB Group, Sunway Group, Malakoff Corporation Berhad dan Telekom Malaysia (TM) adalah antara beberapa syarikat yang menerima Anugerah CSR Perdana Menteri 2010. Syarikat ini bukan saja mencatatkan keuntungan besar, malah membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, pembangunan wanita dan orang kelainan upaya (OKU), pembangunan komuniti dan memberi biasiswa pendidikan.
Pulau Pinang mengalami pembangunan begitu pesat sejak 1970-an dan melalui transformasi yang berasaskan ekonomi tradisional dan bandar pelabuhan kepada sebuah negeri perindustrian bertaraf antarabangsa. Ini menyebabkan pembangunan hartanah, terutama perumahan dan komersial mengambil tempat dengan begitu rancak sekal.
Selepas lebih 30 tahun, tanah di Pulau Pinang yang boleh dibangunkan perumahan dan pembangunan komersial menjadi sangat terhad. Justeru, ia menjadikan harga tanah melambung tinggi. Dengan menggunakan alasan ini, rumah yang dibina oleh pemaju perumahan di Pulau Pinang dijual pada harga terlalu mahal sehingga tidak lagi mampu dibeli dan dimiliki rakyat tempatan.
Umum mengetahui rumah teres dua tingkat di Pulau Pinang sekarang ini paling murah dijual pada harga RM700,000, manakala rumah teres tiga tingkat berharga sekurang-kurangnya RM1 juta. Harga banglo yang dijual pada 2010 dan 2011 ialah di antara RM2.5 juta sehingga RM10 juta seunit. Kondominium yang dibina dijual pada harga di antara RM500,000 sehingga RM3 juta seunit.
Fenomena ini membimbangkan semua pihak di Pulau Pinang yang peka akan keseimbangan sosioekonomi dan kualiti hidup rakyat. Kebimbangan ini mengakibatkan berlaku bantahan yang diluahkan pelbagai pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu atau pemimpin masyarakat sehingga berjaya menarik perhatian pihak pemaju perumahan melalui organisasi yang mewakili mereka iaitu Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) untuk mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar untuk memberi penjelasan serta pendirian pihak pemaju perumahan.
Mereka menganjurkan beberapa siri dialog dan perbincangan dengan NGO, kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi menjelaskan keadaan atau masalah yang dihadapi oleh pemaju perumahan untuk dianalisis oleh kumpulan yang peka mengenai masalah kurang kemampuan memiliki rumah dibina oleh mereka, dan mencari jalan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak.
Penulis berpendapat pendekatan yang paling baik ialah pemaju perumahan di Pulau Pinang mengadaptasikan CSR secara ikhlas, berkesan dan menyeluruh dalam amalan atau model perniagaan masing-masing. Mengapa dikatakan REHDA perlu ikhlas? Ini kerana penulis mendapati pemaju perumahan ini mencari jalan mudah dengan membina rumah kos rendah untuk rakyat yang didapati sempit, tidak selesa didiami, tiada kemudahan asas yang mencukupi dan seterusnya menjenamakan usaha ini sebagai CSR yang kononnya sudah dipenuhi. Tindakan ‘melepas batuk di tangga’ seperti ini yang sudah diamalkan pada masa lalu mengakibatkan timbulnya lebih banyak masalah baru daripada menyelesaikan masalah sedia ada.
Pembangunan yang dibawa pemaju perumahan di kawasan Gelugor, Balik Pulau, Tanjung Tokong, Batu Maung, Teluk Kumbar, Sungai Ara dan banyak kawasan lain yang sedang pesat membangun di Pulau Pinang jika tidak dikawal, bukan saja akan mengakibatkan rakyat Pulau Pinang kehilangan tempat tinggal, malah akan mengubah landskap, kegiatan ekonomi dan kehidupan di sesuatu kawasan itu, seterusnya mengakibatkan penduduk asal Pulau Pinang akan terpinggir serta dihimpit pembangunan pesat yang lebih mementingkan pembeli rumah mewah dari luar negara seperti pelabur dari Jepun, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Eropah.-
Yasir Hafiz-
3 comments:
ramai2 pakat x payah beli..conform harga turun mendadak..dh tentu kerajaan pp yg rugi..
Gatai sangat nak undi Pakatan Rakyat,..
Padan Muka Hangpa...gatai pungkoq sangat nak undi depa...
so mmg berjaya laa bagi depa yang mahu kan perubahan tuh .. menjadikan Penang sebagai Singapore yang kedua di bawah pemerintahan dap tuh... dimana golongan pendapatan rendah dah golongan sederhana (yang majoritinya melayu nih di "longgokkan setempat di flat² yang kelihatan dah jadi macam setinggan dah akibat terlalu padat" ... dan kesemua developer sibuk dengan membina rumah 1/4 juta ke atas.. so berapa ramai sangat rakyat yang mampu membelinya .. yang mana puratanya adalah golongan pendapatan rendah dan sederhana..
so disini satu persoalan yang timbul "siapakah yang akan membelinya dan dimana pula golongan pendapatan rendah dan sederhana yang majoritinya melayu akan tinggal? tahniah bagi depa yang nak sangat perubahan ini di bawah DAP dan kulinya Pakatan Rakyat (pakatan rakyat apa kalau tak memikirkan pasal rakyat)
Post a Comment