SEBAHAGIAN tanah di Kampung Bukit Kechil Sungai Nibong yang dijual kepada pemaju untuk projek rumah mewah.
Tanah didiami sejak 150 tahun dijual untuk projek rumah mewah
GEORGETOWN: Sebuah perkampungan Melayu tradisional, Kampung Bukit Kechil Sungai Nibong, di sini yang berusia 150 tahun bakal berkubur berikutan sebahagian tanah sudah berpindah tangan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek perumahan mewah.
Setakat ini, dua lot tanah seluas 1.54 hektar menempatkan kira-kira 30 rumah sudah dijual kepada pihak pemaju. Kampung berkeluasan enam hektar itu secara keseluruhan menempatkan 200 rumah.
Difahamkan, pemaju menjanjikan bayaran RM70,000 bagi setiap rumah di tapak seluas 1.54 hektar yang sudah dijual itu, tetapi masih ada pemilik belum menerima bayaran walaupun sudah mengosongkan rumah sejak awal tahun lalu sebelum kerja merobohkan semua kediaman berkenaan dilakukan, disusuli kerja meratakan kawasan bermula awal tahun ini.
Berikutan kerja di dua tapak di kampung itu sudah bermula, penduduk mula merasa kesan dari aspek keselamatan, kerosakan jalan akibat kenderaan berat keluar masuk ke tapak projek itu selain mendakwa penggunaan jentera berat mengakibatkan paip air pecah dan proses pembaikan menimbulkan kerumitan.
Penduduk mendakwa, wakil pemaju kini giat memujuk baki pemilik tanah di kampung itu supaya menjual tanah masing-masing. Berikutan itu, Badan Bertindak Selamatkan Tanah Milik Melayu (BSTM) dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) menggesa kerajaan Pusat campur tangan memastikan tanah milik Melayu tidak terlepas.
Pengerusi TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Kerajaan Pusat perlu campur tangan supaya kampung itu tidak dibangunkan dengan cara yang boleh menjejaskan pemilikan tanah oleh orang Melayu yang pasti tidak mampu membeli hartanah atau rumah lain di negeri ini kerana harganya tinggi.
“Kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga perlu menyemak kembali pembangunan di kawasan itu supaya tidak menjejaskan jumlah penduduk Melayu, termasuk memantau urusan jual beli tanah di antara pemilik tanah dan pemaju,” katanya.
Penduduk, Osman Jaafar, 74, berkata pembangunan dilakukan tanpa mengambil kira penduduk awal menyebabkan banyak kampung Melayu terhapus dan penduduknya terpaksa berpindah.
“Saya berharap jika ingin memajukan kawasan ini, penduduk tidak diusir dan pihak berwajib dapat menjaga kepentingan orang Melayu supaya penempatan ini dikekalkan," katanya.
Siti Khadijah Osman, 60, berkata dia akan tetap tinggal di kampung itu kerana tidak mahu orang Melayu diusir dari tanah sendiri selain mempertahankan rumah warisan nenek moyangnya.-BH
1 comment:
Salam bro, patutnya ditulis penuh nama kawasan terbabit yakni, Sg. Nibong Besar. Lebih kurang 2 km lagi dari kawasan ni ada 2 buah perkampungan melayu yg bakal diambil-alih tidak lama lagi. Nama kawasan, Sg. Nibong Kecil. Kedua kawasan ni harini dah semakin ketara kurangnya populasi tempatan melayu. Bilamana makin berterabur (berpecah) dah baki melayu yg tinggal sikit ja lagi kot sini.. UMNO Bayan Baru akan pupus, sedang PAS dan PKR pun tiada pemimpin tempatan kot sini. (Cuba sebut mcm Ibrahim Pendek dlm filem Ali Baba Bujang Lapok) Mari kita lihat siapa yg kena (menang)? hehehe..
Post a Comment