Ostad Zizan Kena Badi Sejarah MB Kedah?

LAPORAN mengenai ada usaha untuk menggantikan Datuk Seri Azizan Abd. Razak sebagai Menteri Besar Kedah bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebenarnya Pas Kedah sudah lama berada dalam pergolakan berikutan usaha-usaha untuk menjatuhkan Azizan oleh kelompok tertentu dalam parti berkenaan.

Selama ini usaha itu terbantut kerana Azizan masih boleh mentadbir, biar pun Kedah dilihat tidak mengecapi apa-apa kemajuan di bawah kepimpinan Pas.

Namun begitu serangan jantung yang dialami oleh Azizan dijadikan alasan terbaik kepada kelompok tertentu untuk melaksanakan agenda menyingkirkan beliau.

Ini belum lagi termasuk bagaimana wujudnya gerakan secara senyap-senyap bagi menjatuhkan Azizan yang sekali gus bertujuan menamatkan penguasaan golongan ulama dalam pentadbiran Kedah.

Bagaimanapun seperti mana kata seorang pemerhati politik, krisis yang berlaku telah menyerlahkan perebutan kuasa antara kumpulan profesional dan ulama dalam Pas Kedah.

‘‘Golongan ulama tidak ada ‘pewaris’ berbanding golongan profesional, tetapi soalnya bolehkah golongan profesional menjadi lebih baik daripada golongan ulama dalam mentadbir Kedah,’’ tanya beliau.

Beliau melontarkan persoalan itu kerana melihat siapa juga daripada golongan profesional yang menggantikan Azizan mereka tidak ada kekuatan politik.

‘‘Kekuatan antara satu sama lain sama sahaja tetapi saya lihat Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi (ADUN Pengkalan Kundor) lebih sesuai memandangkan sikapnya yang tenang,’’ katanya.

Namun begitu kata beliau, pelantikan Phahrolrazi tidak akan menyelesaikan masalah kerana sudah pasti puak yang menyokong Datuk Amiruddin Hamzah (ADUN Anak Bukit) akan melakukan penentangan.

‘‘Jadi untuk jalan tengah mungkin Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai) dilantik,’’ katanya.

Untuk rekod, Phahrolrazi, 58, dan Amiruddin, 49, ialah jurutera awam manakala Mohamad Taulan, 69, seorang peguam.

Bagaimanapun pemerhati politik itu lagi yakin bahawa siapa pun yang menggantikan Azizan, pergolakan politik dalaman Pas Kedah tidak mampu dielakkan.

‘‘Malahan Pas Kedah juga berhadapan dengan dilema apakah mengekalkan Azizan satu langkah yang baik atau menggantikan Azizan lebih baik,’’ katanya.

Namun begitu ketika Pas pusat sudah merancang penggantian Azizan, tuan tubuh sendiri tidak bersetuju dengan langkah berkenaan dan sudah memberi isyarat awal untuk menentang langkah itu.

Dalam kenyataannya, Azizan berkata, ‘‘Saya ok tetapi sesetengah orang tidak mahu saya berada di situ (kerusi menteri besar) lagi, sesetengah pula mahu saya mati.’’

Penulis percaya kenyataan Menteri Besar Kedah tersebut sudah tentulah merujuk kepada kelompok tertentu di dalam Pas yang sememangnya sudah lama mengidam kerusi Menteri Besar.

Mungkin akibat pergolakan dalaman inilah Pas tidak mampu mentadbir Kedah dengan sempurna dan yang menjadi mangsa ialah rakyat.

Ia belum lagi termasuk tahap kesihatan beliau yang dikatakan sudah berada di tahap yang tidak mengizinkan.

‘‘Saya berpendapat Azizan sudah tidak mampu lagi dari segi kesihatan,’’ kata satu sumber.

Kini, selain kegagalan untuk membawa apa-apa perubahan kepada Kedah demi kesejahteraan hidup rakyat, Pas juga berhadapan dengan masalah politik dalaman.

Keadaan ini jika berterusan akan merugikan rakyat Kedah tetapi persoalannya sejauh manakah UMNO Kedah akan mengambil kesempatan terhadap pergolakan berkenaan.

Kebiasaannya UMNO negeri itu dilihat bukan sahaja lewat malah lambat untuk mengambil kesempatan, kita bukannya mahu UMNO Kedah campur tangan dalam pergolakan dalaman Pas tetapi cukup dengan menyedarkan rakyat bahawa Pas tidak sebaik mana, biar pun mereka sering melaung- laungkan mereka lebih baik dan sempurna berbanding UMNO.

UMNO Kedah perlu tunjuk kepada rakyat inilah sikap pemimpin-pemimpin Pas apabila sudah berkuasa mulalah hendak jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain sehingga agenda pembangunan negeri terbantut.

Oleh itu ketika Pas bergelut dengan masalah dalamannya, UMNO Kedah perlu memperhebatkan gerakan mendekati rakyat dan bukannya bak kata orang, ‘‘Pas tengah sakit, UMNO terus tidur’’.

Selain itu, turut menjadi perhatian kita ialah sejauh manakah Azizan mampu ‘menyelamatkan diri’ daripada menjadi ‘badi’ kerusi Menteri Besar Kedah.

Ia kerana biar pun Azizan mewakili Pas namun ‘badi’ yang menyaksikan pemegang jawatan itu turun dengan penuh kontroversi kini memburu beliau.

Sejarah politik Kedah sebelum ini sudah membuktikan hakikat berkenaan bermula daripada Tan Sri Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabuddin, Datuk Seri Syed Nahar Tun Syed Sheh Shahabuddin, Tan Sri Osman Aroff, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Semuanya turun daripada ‘takhta’ Menteri Besar Kedah dalam keadaan kontroversi, tetapi nasib Azizan dilihat lebih cenderung mendekati perjalanan politik Syed Razak yang dipaksa berundur kerana masalah kesihatan.

Apakah Azizan akan terselamat daripada badi berkenaan? Sama-samalah kita tunggu kesudahannya yang pasti politik tetap politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal, sebaliknya hanya berkisar soal kuasa dan kedudukan.-UM-

1 comment:

Abu Garcia said...

Ada 4 "Zizan" yang popular di Malaysia ...

1) Zizan bekas pemandu Wan Jijah yang diliwat Anwar.

2) Zizan Nin pelakon drama yng pernah ada skandl dgn Rozita Che wan.

3) Zizan Raja Lawak pelawak yang popular dgn bakat dan skandal.

4) Zizan MB, antara MB yang perengus dlm sejarah negara.


Apa persamaan mereka .... semuanya popular.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...