NAMUN PRU13 ADALAH PRU PALING GETIR UNTUK DITEMPUHI! DENGAN HANYA MENGHARAPKAN TUAH SEMATA-MATA TIDAK MEMUNGKINKAN KEJAYAAN DIPEROLEHI DENGAN MUDAH.
USAHA BERSEPADU DARI SETIAP PARTI KOMPONEN BN ADALAH AMAT PENTING BUAT MASA INI. PEMIMPIN UMNO/BN YANG ADA DIHARAP BERHATI-HATI DENGAN SETIAP TINDAKAN/KEPUTUSAN YANG DILAKUKAN. HINDARKANLAH PERKARA YANG BOLEH MENIMBULKAN KONTROVERSI.
**********
SEBUT sahaja bertuah, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah mendapat segala apa dihajati, awek idaman, harta benda, kesihatan, kereta besar dan mungkin mendapat tempat pertama dalam pelajaran atau sukan. Senang cerita, sebut sahaja bertuah, ia boleh meliputi segala aspek dalam kehidupan dan sedap sekali untuk didengar. Kadang-kadang, sebutan bertuah ini juga boleh diterbalikkan maksudnya menjadi buruk, contoh seperti 'bertuahnya budak', 'anak bertuah' dan 'bertuahnya engkau... 'jadi maksud bertuah ni boleh dikembangkan dan tidak terikat kepada nasib baik sahaja.
Kembali kepada cerita pokok, saya ingin membawa pembaca berfikir sejenak parti politik manakah paling bertuah di negara ini? Tidak keterlaluan jika kita mengambil contoh parti-parti politik negara jiran dan serantau untuk dibuat perbandingan dengan parti-parti ini. Penulis mendapat idea mengenai parti politik paling bertuah ini dari percakapan seharian. Ramai kawan-kawan apabila berborak mesti bercerita mengenai bertuah dapat gaji besar, kereta besar dan dapat apa sahaja yang dihajati. Jadi apa salahnya saya fikir jauh sedikit, parti politik paling bertuah, bukan parti buih ya.
Mula-mula mari kita ambil parti terbesar dalam Barisan Nasional (BN) iaitu Umno. Adakah parti terbesar dengan keahlian 2 juta orang serta menjadi parti dominan ini boleh dikatakan bertuah? Kenapa parti ini kelihatan amat teguh sekali? Manakan tidak, parti ini sudah memerintah negara tanpa pernah kalah sejak 55 tahun lalu. Cuma pada pilihan raya umum 2008 sahaja parti ini dilihat tidak berapa bertuah kerana tumbang di empat negeri. Malah lebih membuatkan parti Umno-BN ini kelihatan bertuah, adakah anda tahu bahawa perikatan BN ini adalah parti pemerintah paling lama mentadbir sesebuah negara di Asia malah parti tertua dunia yang memerintah Paraguay - Parti Colorado tewas pada pilihan raya negara itu pada 2008 selepas memerintah selama 61 tahun.
Punca tewas adalah kemiskinan rakyatnya. Jadi kenapa Umno ini kelihatan amat bertuah? Kenapa pada pilihan raya umum 2008 lalu, komponen-komponen BN yang kurang bertuah masih tidak mampu membayangi 'tuah' parti Umno. Umno masih tetap membawa tuah terbesar bagi BN dibantu oleh tuah parti komponen dari Sabah dan Sarawak.Malah di seluruh dunia, terdapat banyak contoh tewasnya sesebuah parti kerana skandal wang, seks dan penyalahgunaan kuasa. Disini datangnya persoalan menarik. Cuba pembaca bertanya dengan sesiapapun seramai 10 orang mengenai Umno berkenaan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa?
Apakah jawapan mereka, pasti boleh agak jawapannya bukan. Maaf, penulis bukannya mahu memburukkan sesiapa, malah niat saya adalah mahu bersama membetulkan keadaan, tapi ini adalah realiti. Mereka bernasib baik kerana tuah masih tidak mahu pergi dari Umno. Lebih menarik lagi, Umno dan BN sudah menghadapi pelbagai cabaran. Dari cabaran terkecil hinggalah yang terbesar, dari masalah jalan kampung Parit Betong, Batu Pahat hinggalah ke pemberontakan komunis. Dari kemasukan wilayah Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan hinggalah keluarnya Singapura. Dari pergaduhan kecil hinggalah kepada rusuhan kaum.
Apa sahaja cabaran pernah dilalui Umno namun tuah terus melekat pada parti ini. Hebat betul! Baiklah, sekarang kita bergerak kepada parti kedua terbesar di negara ini dengan keahlian dikatakan melebihi 700,000 iaitu Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Dari segi nama dan majoriti penduduk negara yang beragama Islam, parti ini boleh dikatakan amat bertuah. Lebih bertuah lagi, anggota-anggota parti ini tidak dinafikan amat setia dengan jemaah. Malah mereka sanggup melakukan apa sahaja demi perjuangan.
Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa berucap pada konvensyen Pakatan Rakyat (PR) di Alor Setar pada 14 Januari lalu berkata: Kita mempunyai satu tanggungjawab yang besar dalam menuju Putrajaya tetapi jalan untuk ke sana sangat berliku dan penuh cabaran. Adakah tuah yang ada pada Pas dibantu oleh majoriti penduduk negara beragama Islam dan dua parti komponen PR iaitu PKR dan DAP masih tidak mencukupi? Jadi berapa banyak tuah yang diperlukan Pas dan PR bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti?
Tidak cukup dengan itu, PR turut dibantu oleh isu-isu sejak empat tahun lepas yang dilihat mencalit kesan buruk pada kerajaan pusat, seperti yang terbaru isu National Feedlot Corporation (NFCorp) dan Pusat Fidlot Nasional (NFC), malah isu-isu berterusan yang dibawa pembangkang seperti isu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa tidak telus dan korupsi sana sini dalam ceramah mereka terus mendapat rentak. Dicampur pula dengan tuah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang bebas dari tuduhan liwat yang dikenakan ke atasnya.
Seolah-olah kemaraan PR ke Putrajaya pada kali ini sudah tidak mampu disekat-sekat lagi. Jika tuah dari dalam negara masih tidak mencukupi, adakah tuah dari luar dengan kemenangan Ikhwanul Muslimin pada pilihan raya di Mesir baru-baru ini boleh dialirkan ke Malaysia? Dengan begitu banyak tuah dilihat menyebelahi Pas dan PR kali ini, ramai meramalkan ia mampu menghancurkan tuah parti pemerintah.
Namun persoalannya, sejauh mana tuah-tuah ini mampu memenangi tuan mereka. Seperti yang berlaku di negara-negara lain, punca utama kejatuhan kerajaan berkait rapat dengan soal ekonomi. Di Malaysia, isu ini semakin menghimpit kerajaan malah pembangkang sendiri. Apa yang lebih menarik tahun 2012 adalah Tahun Naga. Apakah tuah dan kuasa di sebalik sambutan Tahun Naga ini?
Semuanya terletak kepada usaha masing-masing. Tuah dan kuasa sudah pasti tidak datang bergolek. Jadi siapakah yang bakal berkuasa dan bertuah jika PRU13 dilangsungkan pada Tahun Naga ini? Mampukah BN terus mempertahankan kuasanya atau barisan pembangkang (DAP-PKR-Pas) berjaya memenuhi impian menduduki Putrajaya? Kita hanya akan tahu parti mana paling bertuah kali ini bila tiba masanya, tapi perlu beringat, pertembungan tuah dengan tuah kadang-kadang disudahi oleh sial dan bencana yang teramat teruk!
No comments:
Post a Comment