SEORANG lelaki yang ditemui kelmarin terperangkap di dalam kereta ini yang dipenuhi dengan salji tebal di sebatang jalan di sebuah hutan tidak jauh dari bandar Umea, Sweden. |
STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki Sweden hidup dalam sebuah kereta yang ditimbus salji di sebatang jalan di dalam hutan selama dua bulan tanpa makan, kata polis dan media kelmarin.
Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui pada Jumaat lalu dan dia kelihatan sangat kurus dan terlalu lemah untuk bercakap beberapa patah perkataan.
Dia ditemui dalam kereta tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden.
Lelaki itu ditemui oleh beberapa orang yang menaiki skuter salji yang pada mulanya mereka menganggap mereka menemui sebuah bangkai kereta.
Namun, mereka menggali salji ke tingkap kereta tersebut dan melihat terdapat pergerakan di dalam kenderaan itu.
Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang di dalam beg tidur dan dia menyatakan telah berada di dalam kereta tersebut sejak 19 Disember tahun lalu.
Seorang pegawai polis, Ebbe Nyberg berkata, pihaknya tidak meragui bahawa lelaki tersebut telah terperangkap di dalam kereta bagi tempoh yang lama.
Hospital Universiti Umea iaitu lokasi lelaki tersebut dirawat selepas diselamatkan oleh polis dan pasukan penyelamat berkata dalam satu kenyataan bahawa dia kini beransur baik.
Doktor-doktor di hospital itu berkata, manusia pada kebiasaannya mampu hidup selama kira-kira empat minggu tanpa makanan.
Menurut Dr. Stefan Branth kepada akhbar Vasterbottens-Kuriren, selain makan salji, lelaki itu mungkin hidup disebabkan dia tidak aktif.
“Seperti seekor beruang yang hibernasi. Manusia bolah melakukannya,” katanya.
Hibernasi merujuk kepada haiwan yang menghabiskan musim sejuk dalam keadaan tidur nyenyak.
“Dia (lelaki itu) mungkin mempunyai suhu badan kira-kira 31 darjah Celsius yang disesuaikanmengikut tubuh badannya.
“Disebabkan suhu yang kecil, tiada banyak tenaga yang digunakan,” kata Dr. Branth.
Polis berkata, kenapa lelaki tersebut berada di dalam kereta di hutan tersebut masih belum diketahui.
– Reuters
No comments:
Post a Comment