Suspek utama disyaki membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang kini
koma sejak kejadian 13 Ogos lalu akhirnya ditahan awal pagi semalam
ketika dalam keadaan ‘lalok’ (khayal) akibat pengaruh dadah bersama lima
rakan, empat daripadanya wanita.
Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang juga kekasih mangsa ditahan
kira-kira jam 3.30 pagi bersama lima rakan berusia 18 hingga 20 tahun di
dalam sebuah rumah panjang di Setapak Jaya, di sini, yang jaraknya
hanya kira-kira lima kilometer dari lokasi Nurul Firzanah dibakar.
Sumber polis berkata, serbuan diketuai Pegawai Siasatan Kanan Jenayah
dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (Zon Setapak), Asisten
Superintendan Shan Gopal bersama sepasukan anggota hasil risikan dan
maklumat orang awam.
Menurutnya, siasatan polis mendapati sejak kejadian 10 hari lalu suspek
tidak keluar dari rumah itu yang menjadi tempat persembunyiannya bagi
mengelak ditahan polis selepas gambarnya disebarkan di media.
“Sebelum serbuan dilakukan, polis membuat pemantauan di rumah berkenaan
selama hampir lima jam bermula jam 11.30 malam dan serbuan dilakukan
menerusi pintu belakang dan depan secara serentak.
“Suspek cuba melarikan diri, namun dapat dicekup dan ketika itu dia dan
rakan-rakannya didapati berada di bawah pengaruh dadah, malah polis
turut menemui peralatan menghisap dadah di rumah berkenaan,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang
dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek utama itu serta lima
rakannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan polis turut menemui
beberapa bahan bukti penting, antaranya pakaian dengan kesan minyak
petrol yang dipercayai digunakan suspek semasa membakar mangsa. “Polis
turut merampas telefon bimbit suspek selepas mendapati di dalamnya
terdapat beberapa mesej berbaur ugutan antara suspek dan mangsa,”
katanya.
Ku berkata, selain suspek, lima individu yang ditahan bersamanya turut
didapati positif dadah dan semua mereka kini direman lima hari bermula
semalam untuk siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun
Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara itu, bapa Nurul Firzanah, Mat Zaki Mat Hussin, 45, yang
dimaklumkan mengenai tangkapan suspek mengucapkan rasa syukur dan
tahniah di atas kejayaan polis.
“Alhamdulillah, solat hajat dan doa kami sekeluarga serta orang ramai
dimakbulkan Allah. Kami berharap dia (suspek) akan menerima pembalasan
setimpal dengan apa yang dilakukannya terhadap anak saya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi 13 Ogos lalu, Nurul Firzanah yang
keluar bersama suspek disimbah petrol sebelum dibakar di kawasan semak
berhampiran Flat Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, hingga menyebabkan
dia koma manakala 25 peratus tubuhnya terutama bahagian muka hingga
paras pinggangnya terbakar.
Selasa lalu dilaporkan remaja itu berkemungkinan akan koma
untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan kerana Mat Zaki diberitahu
doktor terpaksa memberinya ubat pelali supaya dia terus tidak sedarkan
diri.
Menurutnya, rawatan itu adalah terbaik untuk mangsa kerana Nurul
Firzanah yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala
Lumpur (HKL) akan bertambah teruk dan sakit jika dia sedar daripada koma
dalam masa terdekat.-HM
2 comments:
tahniah kepada pihak Polis diatas kecekapan mereka namun aku agak terkilan sedikit kerana berharap benar budak sial ni dibakar dulu konek dia sampai hangus sebelum diserahkan pada polis,hmmn..
baso budak celaka ni elok dihumban jer kat kandang harimau atau kubang buaya kat zoo negara. bior dia menjerit, melaung minta tolong. padan muka! kecik2 tak nak mampos, dah besar pandai pulak nak bakar orang. celaka!
Post a Comment