Apa Kata Akhbar-Akhbar Cina Tentang Ucapan Najib.



Gesaan Najib tarik perhatian akhbar Cina


Akhbar harian utama berbahasa Mandarin hari ini menonjolkan mesej Perdana Menteri bahawa pilihan raya umum (PRU) bukanlah medan uji kaji untuk menentukan masa depan negara.
Selain itu mereka juga menekankan pesanan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno semalam supaya rakyat membuat pilihan tepat pada PRU kerana keputusan tersebut memberi kesan jangka panjang kepada masa depan mereka serta generasi akan datang.
Akhbar Sin Chew Daily merumuskan mesej Najib itu melalui tajuk muka depan akhbar berbunyi "Najib: Jangan Jadikan PRU Akan Datang Sebagai Eksperimen" dan "Najib: Tukar Kerajaan, Akan Musnahkan Negara".
"Najib: Saya Mahu Setiap Undi" pula menghiasi muka depan Oriental Daily.
Akhbar terbabit turut memuatkan kenyataan Najib yang juga Presiden Umno mengenai strategi parti itu untuk memenangi hati rakyat, terutama pengundi muda yang merupakan pengundi baharu dalam PRU akan datang.
Rata-rata kolumnis akhbar terbabit turut memuji tindakan Perdana Menteri yang meminta maaf atas segala kesalahan parti sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily Tay Tian Yan dalam kolumnya, berkata adalah penting bagi seorang pemimpin mengakui segala kesalahan yang dilakukan sebelum ini, bagi meminta restu rakyat serta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pimpinan kerajaan.
Beliau turut mencadangkan Najib sebagai Presiden Umno harus terus berusaha melakukan transformasi terhadap partinya jika beliau ingin mengekalkan kejayaan Barisan Nasional (BN).
Katanya amat jarang pemimpin parti politik yang berani mengakui kesalahan dan Perdana Menteri sudah berjaya melakukannya dan mendapat restu daripada rakyat.
Akhbar terbabit turut memaparkan gambar Najib berbaju Melayu biru sambil mengangkat bendera BN. -agendadaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...