Pakatan Rakyat bakal berhadapan laluan sukar untuk mencapai cita-cita politik mereka menerajui Putrajaya kerana perikatan itu masih perlu menang sekurang-kurangnya enam kerusi di Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Setakat ini menurut pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir, perikatan itu dijangka hanya boleh menang sekitar 12 daripada 18 kerusi yang sepatutnya dimenangi dengan mengambil kira jumlah bilangan kerusi mesti menang di Semenanjung dapat dicapai.
Mengikut perkiraan sekarang, Pakatan akan menang tujuh di Sarawak dan lima di Sabah. "Dalam keadaan sekarang, saya boleh rumuskan sukar untuk Pakatan Rakyat menumbangkan BN di Sabah dan Sarawak," katanya dalam Wacana Pra-PRU13 di sini, semalam.
Sebelum ini Pakatan Rakyat menjangkakan mereka akan menang 105 kerusi Parlimen secara keseluruhan.Menurut Jeniri, berdasarkan kajian yang dilakukan dan merujuk kepada keputusan pilihan raya sebelum ini, Sabah dan Sarawak diramalkan kekal menjadi kubu kuat BN.
Dalam ucapannya yang cukup kritikal terhadap kepimpinan kerajaan membabitkan hak-hak masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang disifatkan agak terpinggir, Jeniri tidak menolak betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan ikon yang menarik minat rakyat di negeri itu untuk terus memberikan sokongan kepada BN.
"Sekitar 66.5 peratus responden menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding dengan 62 peratus suka kepimpinan Ketua Menteri Sarawak.
"(Sebanyak) 81 peratus responden menyokong aspirasi dan transformasi kerajaan memantapkan agenda membangunkan belia negara," ujar beliau.Menurut Jeniri, ciri kepimpinan yang ditonjolkan oleh Najib membuahkan keyakinan di kalangan rakyat Sarawak terhadap BN.
"Ini sesuatu yang menarik untuk kita lihat bagi pengundi di Sarawak, Perdana Menteri dipanggil seorang pemimpin yang ikhlas dan komited untuk memperjuangkan nasib mereka," ujar beliau.-SH
No comments:
Post a Comment