Lelaki Pulau Aman Kena 'Berkurung' Tiap Jumaat!

Tindakan diambil supaya jemaah solat cukup syarat 40 orang 

PULAU AMAN (Batu Kawan): Lazimnya perintah larangan keluar kepada penghuni sesebuah kawasan kediaman atau perkampungan dikuat kuasa jika berlaku darurat atau musibah bagi tujuan keselamatan.

Tetapi, berlainan pula dengan keadaan di Pulau Aman di Seberang Prai Selatan (SPS) apabila setiap Jumaat, semua penduduk lelaki akan ‘dikurung’ dan ‘dihalang’ keluar dari pulau itu. 

Perintah ‘larangan’ keluar dari pulau itu kepada golongan lelaki bukan disebabkan darurat, tetapi bagi memastikan solat Jumaat boleh diadakan di masjid di Pulau Aman. Keadaan ini disebabkan jumlah lelaki pemastautin yang cukup umur di Pulau Aman ialah 40 orang iaitu memenuhi syarat bilangan minimum jemaah untuk diadakan solat Jumaat.

Ini bermakna, jika seseorang daripada mereka tiada, bilangan jemaah tidak mencukupi. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Yaakob Talib, berkata itulah situasi yang berlaku di pulau itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 "Kami akan mengingatkan penduduk supaya jangan keluar dari pulau sehingga selepas solat Jumaat bagi memastikan jumlah jemaah mencukupi 40 orang. "Kalau yang hendak keluar kerana ada urusan penting, mereka boleh keluar, cuma harus balik sebelum masuk waktu solat Jumaat.

 "Pernah terjadi di mana kami terpaksa mencari penduduk di rumah ketika waktu menunaikan solat Jumaat hampir tiba. Kami harus melakukannya bagi membolehkan solat Jumaat diadakan," katanya ketika ditemui di pulau itu.

Yaakob berkata, perkara itu berlaku berikutan penghijrahan ramai penduduk asal pulau berkenaan ke tanah besar untuk menjalani kehidupan lain bersama keluarga masing-masing. 
"Dulu penduduk di sini ramai, tetapi kini hanya ada 250 orang daripada 48 keluarga yang majoritinya bekerja sebagai nelayan dan menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 "Ramai penduduk asal berpindah kerana ingin mencari kehidupan serta pendapatan lebih baik. Di sini, sumber pendapatan amat terhad kerana ketiadaan industri lumayan," katanya.-BH

Published with Blogger-droid v2.0.8

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...