Jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang Bakal Dipangku Oleh UMNO? @dzainalabidin
Umno Pulau Pinang bersedia memangku jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu sekiranya anggota dari Gerakan dan MCA menolak untuk memenuhi jawatan berkenaan buat sementara waktu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sekiranya kedua-dua parti yang mewakili kaum Cina itu enggan memegang jawatan berkenaan, Umno bersedia memangkunya atas dasar setia kawan.
“Sejak 1974, terdapat perjanjian di antara parti komponen BN iaitu parti yang mewakili kaum Cina akan memegang jawatan itu dan Umno akur dengan perjanjian itu. Bagaimanapun, sekiranya Gerakan ataupun MCA enggan memenuhi jawatan itu, Umno bersedia berbuat demikian.
“Kita tidak boleh biarkan jawatan itu kosong tanpa diwakili mana-mana parti. Jika mereka (Gerakan dan MCA) mahu semula, kita akan beri balik atas dasar semangat setia kawan,” katanya kepada media selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, hari ini.
Mengenai peletakan jawatan bekas Pengerusi BN negeri,Teng Chang Yeow, Zainal berkata, pihaknya ada mengemukakan surat rayuan kepadanya agar menarik semula hasratnya itu.
Menurutnya,walaupun surat rayuan sudah dikemukakan, ia bergantung kepada Chang Yeow dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskannya kelak.
“Kita masih menunggu keputusan selanjutnya daripada Najib dan kita juga sudah kemukakan surat rayuan kepada Chang Yeow agar menarik semula hasrat itu.
“Rayuan itu dibuat kerana kita merasakan beliau masih boleh memegang jawatan itu dan memimpin BN di Pulau Pinang," katanya.
Sebelum ini, Chang Yeow mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang dan Setiausaha Agung Gerakan Kebangsaan setelah kalah di kerusi Dun Bukit Tengah kepada calon PKR, Ong Chin Weh pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Chang Yeow mendakwa, keputusan itu diambil kerana bertanggungjawab atas kekalahan BN kerana bertindak sebagai perancang utama strategi untuk PRU13.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Masih ada jiwa Melayu di Pulau Pinang. Pastikan cahaya ini terus hidup untuk kita meneruskan perjuangan merampas kembali pulau ini.
Jangan benarkan PP jadi seperti Singapura.
Post a Comment