Wajib dibaca! Tun M: Masa Depan UMNO


(ARTIKEL IN TELAH DI SIARKAN DI DALAM AKHBAR UTUSAN MALAYSIA KELUARAN SEPTEMBER 16, 2013)

1. Saya berasa serba salah. Saya setia kepada UMNO. Saya ingin lihat UMNO terus mewakili orang Melayu, mempertahan dan memajukan mereka. Saya sedar akan hakikat bahawa UMNO mengidap sakit tua, dan ia akan maut kerana sudah tua. Ini naluri manusia. Lambat laun manusia akan menemui ajalnya.

2. Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu.

3. Saya cuba sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut. Saya menulis akan perlunya UMNO diperbaharui dengan penerimaan ahli serta kepimpinan dari generasi muda. Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya. Mungkin secara kebetulan ini akan terjadi. Tetapi jika kerana tuduhan ini saya tidak berusaha untuk kebaikan UMNO, ini bermakna saya lebih utama imej saya daripada tanggungjawab saya kepada parti. Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya Perdana Menteri. Tetapi saya tidak berbuat demikian. Pada hakikatnya, UMNO sekarang memerlukan pembaikan, dan walau apa pun tuduhan saya terpaksalah ketepikan, jika sedikit sebanyak dapat saya sumbang untuk masa depan UMNO dan orang Melayu. Saya tidak penting. UMNO dan orang Melayu tetap lebih penting daripada saya, atau anak saya.

4. Saya ulangi UMNO sedang mengidap sakit tua yang tetap akan membawa maut. Hanya jika UMNO diperbaharui oleh yang muda barulah UMNO dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanah kepada UMNO oleh bangsa Melayu. Ahli UMNO mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan. Demikian juga dengan kepimpinan UMNO di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam MajlisTertinggi. Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda.

5. Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas UMNO. Mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka. Dan UMNO pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu. Dan mereka pun berjaya, berjaya menewaskan Malayan Union British, memerdekakan negara dan bangsa, mengatasi segala cabaran setelah mengambilalih pemerintahan, mengisi kemerdekaan secara bermakna sehinggalah negara yang kerdil, bangsa yang terhina dahulu dikenali dunia sebagai bangsa yang berwibawa, yang mampu bersaing dan memajukan negara ini berpuluh kali lebih baik daripada penjajah. UMNO membangunkan Malaysia sehingga menjadi negara contoh yang dikagumi dunia. Berduyun-duyun orang asing datang untuk mempelajari darinya, mempelajari ilmu berkenaan pembangunan negara dan bermacam lagi.

6. Sumbangan pengasas UMNO yang muda ini terhadap bangsa, agama dan tanahair tidak dapat dinilai. Orang muda, pemimpin muda yang melakukan semua ini memang berjasa. Negara terhutang budi kepada mereka. Bangsa Melayu terhutang budi kepada mereka. Jasa mereka tetap akan dikenang selama-lamanya.

7. Tetapi mereka dan pengganti mereka sekarang sudah tua. Masa mereka sudah terlanjut. Sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati. Ramai yang membongkok disekeliling pemimpin, yang mengulangi cerita tentang keupayaan dan keberkesanan mereka sebagai pemimpin. Dan mereka pun percaya cerita pembodek ini. Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri.

8. Tetapi mereka harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka. Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin ynag sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran.

9. Untuk ini mereka sanggup buat apa sahaja. Tanpa mengambilkira kesan terhadap budaya bangsa mereka sanggup hulur wang untuk mendapat sokongan, untuk mengekal diri sebagai ahli Majlis Tertinggi atau jawatan-jawatan lain. Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin, mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin. Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi lebih daripada apa yang kita terima dahulu. Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput.

10. Malangnya ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang. Tak banyak. RM200/- pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli UMNO. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka. Hentikanlah amalan ini baik oleh yang menghulur mahupun yang menerima.

11. Kata pepatah Inggeris “Money is the root of all evil” (Duit adalah punca segala kejahatan). Duit boleh beli segala-galanya, membeli bangsa, membeli maruah, membeli masa depan, membeli agama pun.

12. Percayalah apabila pemimpin yang kita pilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa pun. Ingatlah Negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin Negara ini.

13. Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu. Sebab itu mereka menubuhkan ratusan badan bukan Kerajaan (NGO). Jika mereka mempunyai banyak pilihan, UMNO sudah kalah PRU13. Tetapi janganlah ahli UMNO, pemimpin UMNO percaya walau apa pun yang dilakukan mereka, kerana tidak ada pilihan lain maka UMNO tetap akan menang. Kalau UMNO dipimpin perasuah, parti lawan akan ternampak lebih baik.

14. Justeru itu kembalilah kepada perjuangan UMNO. Ketepikan kepentingan diri. Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua. Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan tanahair dapat diteruskan. Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai. Janganlah anak cucu kita mengutuk kita kerana ketamakan kita memusnahkan masa depan mereka.

Dr. Mahathir

1 comment:

AJAI62 said...

Assalam Bro

Maaf cakaplah... UMNO guna pakai sistem Demokrasi Terpimpin dalam cerita P Ramlee TIGA ABDUL... sebab tu semua masih perasan mereka kuat... Mereka menang pun bukan pasal orang Melayu sokong sangat pun ... cuma tak ada pilihan yang lebih baik...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...