Mesti Baca! Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia!


ANCAMAN PLURALISME AGAMA DI MALAYSIA

Kesan dan Implikasi Faham Pluralisme Agama
Jika telah jelas kepada kita bahawa Pluralisme Agama adalah suatu faham yang menyeleweng daripada asas Islam, wajar pula kita meneliti kesan dan implikasinya dalam konteks Malaysia secara khusus.

Pluralisme Agama sangat berpotensi untuk menghakis kemurnian aqidah para penganut Islam di Malaysia secara sedar mahupun tidak. Pluralisme Agama juga membuka pintu kepada kesyirikan dan kekufuran. Jika sudut aqidah umat Islam sudah terkompromi maka sebenarnya keseluruhan jati-diri keagamaan umat itu sendiri sudah tergadai. Allah SWT sangat tegas dalam hal aqidah berbanding aspek lain.

Bercakap tentang Islam di Malaysia, walaupun kita sedar bahawa masih banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu ditampung tetapi menjaga kemurnian aqidah serta bertegas terhadap penyelewengan aqidah adalah antara aspek diberi lebih perhatian. Sejak daripada kes Natrah lagi hinggalah ke kes Nuraishah Bokhari, Azlina Jailani, kes-kes murtad yang sampai ke pengetahuan umum akan menarik reaksi aggresif masyarakat Islam. Pihak yang berwewenang, setakat ini, nampaknya masih bertahan dengan tafsiran dan perlaksanaan undang-undang yang lebih menutup pintu murtad.

Di suatu sudut yang lain, fahaman-fahaman aqidah atas nama Islam yang menyeleweng turut dikekang dan tidak diberikan kebebasan untuk berkembang-biak. Orang awam di kalangan umat Islam sendiri sangat sensitif dan takut dengan ajaran sesat. Bezanya, Pluralisme Agama adalah suatu fahaman yang datang dalam bentuk yang halus serta dengan imej faham Islam yang lebih moden dan progresif. Oleh itu mungkin sahaja seseorang itu sudah terjerumus ke dalamnya tanpa menyedari atau tanpa merasakan bahawa ianya suatu yang salah dan menyesatkan.

2. Implikasi Keutuhan Umat
Jika kita sudah berkompromi dalam bab aqidah maka keutuhan umat sudahpun terhakis dan kita telah menempah kebinasaan. Kalaupun mungkin kesan zahirnya tidak terus kelihatan, lambat laun Pluralisme Agama akan tetap menimbulkan krisis yang besar dan jelas di tengah-tengah tubuh Umat. Setidak-tidaknya akan mencetuskan pertelingkahan dan perselisihan sesama Islam dalam bab aqidah yang dititik-beratkan oleh orang-orang Islam. Ini adalah kerana adalah mustahil untuk umat Islam di Malaysia untuk bersepakat atas satu kesesatan seumpama Pluralisme Agama. Maka umat akan terpecah kepada dua puak yang mungkin sahaja ketajaman perselisihannya itu lebih tajam berbanding dengan perselisihan politik kepartaian. Malah sudah nyata bahawa pendokong parti politik yang sama pun boleh jadi terjauh hati dan berpecah-belah akibat gejala Pluralisme Agama. Perpecahan adalah antara punca utama kelemahan dan kemunduran Umat yang tak mampu kita tanggung dalam realiti Malaysia.

3. Implikasi Sosio-politik
Susulan dan terkait dengan implikasi agama dan kefahaman, Pluralisme Agama juga akan membawa akibat buruk kepada situasi sosio-politik umat Islam. Apabila kecemburuan umat Islam di Malaysia terhadap agama dapat dicairkan melalui faham ini, maka agama sebagai salah satu benteng paling kukuh bagi formula sosio-politik di Malaysia juga akan dirobohkan. Pengkaji sosio-politik yang insaf akan mengakui bahawa sepanjang sejarah negara, agama menjadi antara faktor utama di sebalik kekukuhan kedudukan umat Islam di negara ini. Keteguhan umat Islam sebagai umat teras dalam masyarakat berbilang kaum dan agama pula menjadi sangga utama yang terbina di sekelilingnya kestabilan dan keharmonian agama. Merongkai formula yang sudah terbukti ini bererti merongkai ikatan yang selama ini mengikat kesebatian masyarakat.

Pendek kata, Pluralisme Agama adalah suatu tikaman ke jantung negara dan bangsa kerana Islam dan keIslaman adalah jantung dan hati kepada Malaysia dan bangsa Melayu sebagai bangsa terasnya. Oleh itu, kalau pun Pluralisme Agama tidak dirasakan terlalu beracun atau berbisa dalam konteks negara lain, di Malaysia ia adalah racun yang membunuh

2 comments:

Anonymous said...

SAPE YG BERANI NAK TETANG ANUWAR YG TEGAS PERJUANGKAN ISLAM LIBERAL DAN DI AMALKAN DI M'SIA TANPA APA2 SEKATAN, SDGKAN PARA PENGANUT PARTI PAS LANGSUNG X MENGENDAHKANNYA APETAH LAGI NAK MENGHARAPKAN MELAYU PKR YG X GUNE TU KECUALI ORG YG BERPEGANG TEGUH DGN AMALAN AHLIL SUNNAH DAN SIAP SEDIA MENENTANG KEBATHILANNYA

Hedonese said...

kekuatan ‘ancaman’ pluralisme agama sebenarnya datang daripada pihak yang memperalatkan agama sebagai alasan diskriminasi dan memecah belahkan masyarakat majmuk Malaysia bagi kepentingan politik mereka sendiri.

Oleh itu, ramai yang jelak melihat tindak-tanduk eksklusif ini berpendapat bahawa alternatif pluralisme agama adalah kezaliman dan kepincangan sosial. Kalau tolak pluralisme agama maka kena terima diskriminasi dan penindasan golongan minoriti.

Yang penting, pemimpin-pemimpin semua agama harus tampil mencari kaedah sosio-politik terbaik demi menekuni hubungan antara agama serta menangani isu sensitif seumpama penggunaan kalimah “Allah”, Subashini, Revathi, Lina Joy dan lain-lain dengan cara bermuafakat. Forum antara agama adalah platform paling sesuai bagi mereka mempertahankan martabat rukun agama daripada unsur-unsur hasutan yang mempolitikkan agama demi keuntungan peribadi.

Atas sebab keTaqwaan kepada Islam sebagai ad-Deen, fahaman pluralisme agama maupun konsep demokrasi majmuk dari teologi perjanjian Kristian, semua pihak mampu meyumbang tenaga ke arah masyarakat adil dan harmoni di Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan agama daripada sumber kepercayaan masing-masing.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...