Sanggup menjadi gelandangan demi tudung Fareeda..


Sikap orang ramai yang sanggup menjadi gelandangan hanya kerana ingin mendapatkan tudung jenama Fareeda dilihat sebagai satu sikap keterlaluan, tidak masuk akal dan sangat dikesali.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Fadhlina Sidek, berkata Islam sebenarnya memberi garis panduan yang begitu mudah untuk diikuti dalam menutup aurat di kalangan wanita.

Katanya, kegilaan itu nyata tertumpu kepada nilai fesyen yang diketengahkan jenama tudung berkenaan sahaja dan bukan bagi memenuhi tuntutan syariat Islam.

Sebenarnya mahu berfesyen juga tidak salah dalam Islam tetapi harus selaras dengan syariat dan tuntutan iaitu tudung tidak boleh jarang, tidak pendek dan menutupi dada.

“Mungkin peminat tudung ini juga melihat jenama ini sebagai trend hingga mereka menjadi begini obses. Apapun, saya melihat semua ini sebagai satu sikap untuk berlebih-lebihan dan tidak munasabah,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau dihubungi bagi mengulas pelancaran terbaru koleksi Fareeda yang menarik ribuan peminatnya beratur di butik itu semalaman bagi mendapatkan nombor giliran.

Tinjauan di laman sosial Facebook juga mendapati ramai yang sanggup tidur dan bermalam di kaki lima membawa anak kecil dalam usaha mendapatkan koleksi terbaru Fareeda.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, masyarakat Islam terutama golongan wanita harus segera disedarkan daripada kegilaan melampau itu.

“Tetapi, hal ini pasti sukar kerana golongan terbabit menganggap tudung Fareeda sebagai fesyen yang mesti dimiliki dan tidak mahu dianggap ketinggalan dalam bergaya.

“Apa yang saya boleh katakan, sangat susah untuk tahan masyarakat daripada kegilaan ini,” katanya.

Ibu pejabat dan butik utama Tudung Fareeda terletak di Bandar Baru Bangi selain terdapat butik di Pulau Pinang dan Kelantan.

1 comment:

Anonymous said...

This show bertapa bodoh nya wanita melayu kerana tudung. Tudung tak boleh menutup seluruh semua aurat...................

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...