KESIAN, juga kelakar! Saya percaya pakar-pakar siber di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kena lebih kerja sekarang, sebab sehari dua ini mereka mendapat tugas tambahan.
Banyak pihak mendesak suruhanjaya itu supaya bertindak tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang menghina lagu Negaraku. Semua mahu hukuman berat dikenakan ke atas pesalah.
Itulah gara-gara seorang individu, tidak disebut dengan jelas nama dan keturunan tetapi dikatakan pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang telah mempersenda lagu kebangsaan.
Menerusi YouTube, ‘pelajar’ tersebut telah menukar lirik lagu wajib negara dengan kata-kata yang menghina Yang di-Pertuan Agong. Baris ketiga telah diubah menjadi: ‘Rakyat Hidup Miskin dan Makan Taik’.
Untuk mengetahui baris-baris lain, tengoklah sendiri dalam YouTube, itu pun sekiranya belum dinyahkan oleh pihak berkuasa. Kata-kata yang diubah itu memang biadab, kurang ajar, atau istilah yang kerap digunakan sekarang ‘derhaka’.
Tidak hairan banyak pihak yang melenting. Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga ahli Lembaga Pengarah UMT Ahmad Razif Abd Rahman meminta siasatan segera dilakukan untuk menangkap individu berkenaan. Naib Canselor, Prof Dr Aziz Deraman menegaskan, pihak pengurusan universiti tidak rela mempunyai penuntut yang menghina lagu Negaraku.
Setiausaha Agong Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad mengeluh: “Disebabkan penguatkuasaan (pihak berkuasa) yang agak longgar dan tidak tegas, pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mempersendakan Negaraku.”
Beliau mahu SKMM mengkaji semula dan memperketat undang-undang di bawah bidang kuasanya bagi memastikan tiada pihak berterusan menghina lagu Negaraku menerusi saluran multimedia.
Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dicadangkan mewujudkan modul khusus dalam usaha menerap nilai jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya mereka sentiasa menghormati Perlembagaan Negara. Lagi-lagi modul!
Dalam waktu yang sama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berjanji akan membuat siasatan terperinci mengenai perkara ini. Harap-harap hasil siasatan akan segera diumumkan. Lebih penting lagi tindakan tegas akan diambil.
Rasanya tidak susah untuk mencari ‘si penderhaka’. Dengan kecanggihan teknologi dan pakar-pakar yang ada, SKMM tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk mengesan pencipta lirik lagu kebangsaan versi baru itu.
Tetapi, kalau ikut rekod lama, apa yang dikesan tidak semestinya ada tindakan. Siapa yang bersalah @ kurang ajar @ derhaka tidak semestinya menerima hukuman. Contohnya Wee Meng Chee, atau nama popular Namewee.
Anak Malaysia yang lahir 1983 di Muar, Johor ini membuat onar ketika menuntut ilmu Komunikasi Massa di Universiti Ming Chuan, Taiwan. Pada Ogos 2007, menerusi blognya, dia telah memperlekeh lagu Negaraku.
‘1Malaysia’ tahu betapa negara, raja, agama dan rakyat Malaysia telah dipersenda menerusi versi ‘Negarakuku’ ciptaan pelajar ini menerusi video dalam blog (sekarang pun masih ada, boleh ditonton dan didengar!).
Beliau memohon maaf terbuka kepada kerajaan dan rakyat. MCA menerima permohonan maaf tersebut. Tetapi Kabinet menolak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan: “Undang-undang akan menentukan semuanya.” Polis menyiasat Namewee di bawah Akta Hasutan, dan akan merujukkan perkara ini kepada pejabat Peguam Negara.
Empat tahun telah berlalu, tiada tindakan dan hukuman ke atas Namewee. Semua senyap, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Dengan hanya sekali meminta maaf, dia dilepaskan begitu sahaja. Beres.
Jadi apa yang hendak hebohkan sangat mengenai ‘pelajar’ UMT yang menghina lagu Negaraku? Tidak kira siapa identitinya – Melayu? Cina? India? Bugis? Melanau? Jawa? – cukuplah sekadar pelajar tersebut meminta maaf.
Sekiranya kecanggihan SKMM gagal mengesan dan pihak berkuasa gagal merisik, pelajar tersebut tidak perlu menyembunyikan diri. Kalau dia menyerah diri kepada pihak berkuasa pun rasanya tidak ada apa-apa.
Atau, seperti Namewee, pelajar tanpa identiti itu boleh memohon maaf menerusi YouTube. Telah terbukti, sekali minta maaf habis cerita. Dan, orang lain akan terus menghina lagu Negaraku!
4 comments:
SKMM tidur!
Rela melihat maruah agama, bangsa dan negara dipijak dan diludah. Hei, yang dicaci dihina ini Melayu tau tak?! Korang bukan Melayu ke? Tak ada maruah ke?
Bertindaklah SKMM!
Ini kerana kerajaan terlalu lemah terutama menteri yang bertangung jawab, YB Hishamuddin dan YB Rais yang hanya berabis wang negara untuk berpoya-poya tetapi bukan untuk bekerja, sekiranya mereka berkeras perkara sedemikian tidak akan berulang. Atau mereka sekadar memberi amaran kerana takut kerana tidak faham undang-undang negara, adalah lebih baik mengundur diri.
KENAPA INI BERLAKU??????
Senang je, sebabnya tiadanya jatidiri dalam diri remaja Malaysia sekarang ni.Remaja sekarang ni dah di gula2kan dengan kesenangan dan kemewahan.
Hiburan berlambak dimana saja.Sayangkan negara dah tiada yang ada hanya kebebasan.Remaja dimanja yang tua terbiar kerana anak2 lebih pentingkan kesenangan,keseronokan dan kemewahan.Hilang rasa tanggung jawap.
Para pemimpin baik dari kerajaan maupun pembangkang lebih kepada populariti,undi dan kemenangan PRU.Tanggung jawap menjaga negara serta keamanan dah lupa.Mana Menteri dalam negeri yang sepatutnya bertindah bilamana maruah negara tercabar dan tercalar.Takut bertindak kerana takut populariti merundum.Hari ini kita lepaskan tanpa tindakan maka akan tumbuh yang lain.Pembangkang pun sama tak berani berkata kerana takut undi hilang.Sama saja.Yang di fikiran hanya kuasa bukan tanggung jawap terhadap negara.
Maruah negara adalah tanggung jawap semua.Baik kerajaan maupun pembangkang.Kerajaan penakut pembangkang bacul.Lambang dan maruah negara di hina masih lagi memikirkan nak menang PRU.
MEMALUKAN DAN MEMUALKAN
KENAPA INI BERLAKU??????
Senang je, sebabnya tiadanya jatidiri dalam diri remaja Malaysia sekarang ni.Remaja sekarang ni dah di gula2kan dengan kesenangan dan kemewahan.
Hiburan berlambak dimana saja.Sayangkan negara dah tiada yang ada hanya kebebasan.Remaja dimanja yang tua terbiar kerana anak2 lebih pentingkan kesenangan,keseronokan dan kemewahan.Hilang rasa tanggung jawap.
Para pemimpin baik dari kerajaan maupun pembangkang lebih kepada populariti,undi dan kemenangan PRU.Tanggung jawap menjaga negara serta keamanan dah lupa.Mana Menteri dalam negeri yang sepatutnya bertindah bilamana maruah negara tercabar dan tercalar.Takut bertindak kerana takut populariti merundum.Hari ini kita lepaskan tanpa tindakan maka akan tumbuh yang lain.Pembangkang pun sama tak berani berkata kerana takut undi hilang.Sama saja.Yang di fikiran hanya kuasa bukan tanggung jawap terhadap negara.
Maruah negara adalah tanggung jawap semua.Baik kerajaan maupun pembangkang.Kerajaan penakut pembangkang bacul.Lambang dan maruah negara di hina masih lagi memikirkan nak menang PRU.
MEMALUKAN DAN MEMUALKAN
Post a Comment